BANGKOK: Thailand mengesan sekurang-kurangnya empat kes berpotensi subvarian COVID-19 Omicron BA.2.2.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr. Suakit Sirilak berkata strain yang pertama kali dilaporkan di Hong Kong itu, ditemukan pada seorang warga asing dan tiga rakyat tempatan.

Bagaimanapun, ia masih menunggu pengesahan lanjut, tambahnya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya bertenang kerana ia masih belum dianggap sebagai membimbangkan.

"Setakat ini, belum ada maklumat mencukupi untuk menilai tahap penularan strain itu dengan tepat.

"Terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa BA.2.2 boleh merebak lebih cepat atau lebih serius berbanding varian lain," katanya di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, Naib Pengerusi Suruhanjaya Kesihatan Awam Dr Chalermchai Boonyaleephan menggesa kerajaan untuk membuat saringan membabitkan ketibaan dari Britain dan Hong Kong di tengah-tengah kebimbangan terhadap Omicron BA.2.2.

Pada masa ini, Omicron adalah strain yang dominan di Thailand, mewakili 99.6 peratus daripada semua kes COVID-19.

Omicron merebak empat kali lebih cepat berbanding varian Delta dan telah bermutasi kepada tiga subvarian: BA.1, BA.2 dan BA.3.

Pada Isnin, Thailand merekodkan 22,130 kes baharu COVID-19 dan 69 kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 3,206,950 dan 23,778 kematian.

-- BERNAMA