Skip to main content

Dunia

Thailand lihat BRICS sebagai platform penting untuk perdagangan, pelaburan

FILE PHOTO: Thailand's Deputy Prime Minister and Foreign Minister Sihasak Phuangketkeow speaks during the third meeting of Thailand–China Foreign Ministers' Consultation Mechanism at the Ministry of Foreign Affairs, in Bangkok, Thailand April 24, 2026. Thailand's Ministry of Foreign Affairs/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. NO RESALES. NO ARCHIVES./File Photo
Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow berkata, BRICS menghimpunkan negara anggota dan negara rakan, sekali gus mewujudkan platform yang luas untuk penglibatan ekonomi. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

BANGKOK: Thailand menganggap BRICS sebagai platform penting bagi menyokong aliran perdagangan dan pelaburan antarabangsa serta memperluas kerjasama ekonomi dengan lebih banyak negara, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow.

Dalam temubual eksklusif dengan TV BRICS, Sihasak berkata BRICS menghimpunkan negara anggota dan negara rakan, sekali gus mewujudkan platform yang luas untuk penglibatan ekonomi.

“BRICS boleh memainkan peranan sangat penting dalam mengekalkan aliran perdagangan dan pelaburan yang bebas. Kumpulan ini juga boleh menjadi wadah untuk libat urus serta penerokaan peluang ekonomi,” kata Sihasak seperti dilaporkan TV BRICS.

Sihasak berkata penglibatan lebih mendalam dengan BRICS akan melengkapi strategi ekonomi Thailand yang lebih luas, khususnya ketika negara itu bersiap sedia untuk mempengerusikan ASEAN pada 2028 dengan memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi serantau dan mengekalkan Kepusatan ASEAN.

Beliau turut menekankan kepentingan kesalinghubungan dalam memperluas perdagangan dan pelaburan dengan menyebut Lebuhraya Tiga Pihak India-Myanmar-Thailand sebagai koridor utama yang berpotensi menghubungkan Asia Tenggara dengan Asia Selatan.

“Apabila siap kelak, ia akan menjadi koridor utama bagi perdagangan dan pelaburan serta hubungan antara rakyat,” katanya.

Sihasak berkata lebuh raya itu berpotensi merancakkan perdagangan antara Thailand, Myanmar dan India, di samping memperkukuh hubungan ekonomi antara Asia Tenggara dengan Asia Selatan.

Beliau turut menekankan keperluan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta, sambil menambah bahawa kerajaan sepatutnya mewujudkan keadaan yang kondusif, manakala sektor perniagaan akhirnya memacu aktiviti ekonomi.

Thailand menyertai BRICS sebagai negara rakan pada 2025 dan kini berusaha untuk menjadi anggota penuh tahun ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement