BANGKOK: Kabinet Thailand hari ini meluluskan draf dekri kecemasan bagi membolehkan kerajaan membuat pinjaman sehingga 400 bilion baht (kira-kira RM52 bilion) untuk menangani kesan krisis tenaga global serta mempercepatkan peralihan negara itu ke arah tenaga bersih.
Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, berkata langkah itu perlu diambil segera bagi mengelakkan ekonomi Thailand terjerumus ke dalam kancah stagflasi berikutan konflik yang berlarutan di Asia Barat.
Advertisement
Beliau menegaskan bahawa krisis tersebut telah menyebabkan kenaikan mendadak harga tenaga dan makanan, sekali gus memberikan tekanan besar kepada kos sara hidup rakyat di seluruh negara.
“Tugas kerajaan adalah untuk menghalang ekonomi Thailand daripada berdepan inflasi tinggi dan pertumbuhan perlahan secara serentak.
"Tindakan pantas ini amat penting bagi melindungi kebajikan rakyat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menerusi peruntukan berkenaan, kerajaan akan melaksanakan pakej rangsangan “Thai Helps Thai” yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 20 juta penduduk berpendapatan rendah dan sederhana bermula Jun ini.
Program tersebut merangkumi pemberian bantuan tunai bulanan, bantuan kepada pemegang kad kebajikan negeri serta pelaksanaan skim subsidi pembelian barangan keperluan secara perkongsian kos pada kadar 60:40 antara kerajaan dan pengguna.
Selain bantuan sara hidup, sebahagian dana pinjaman itu turut disalurkan untuk menyokong sektor pertanian menerusi subsidi baja dan input pengeluaran, selain membiayai projek peralihan tenaga bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Ekniti Nitithanprapas, memberi jaminan bahawa keseluruhan pinjaman berkenaan akan diperoleh daripada sumber domestik dan tidak akan menyebabkan hutang awam Thailand melepasi siling 70 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata kerajaan pada awalnya mempertimbangkan pinjaman sehingga 500 bilion baht, namun jumlah tersebut diselaraskan selepas penilaian terperinci terhadap keperluan semasa ekonomi negara.
Draf dekri kecemasan itu dijadual dibentangkan di Parlimen Thailand untuk kelulusan rasmi pada minggu hadapan.