KUALA LUMPUR: Kes kemalangan maut pasangan suami isteri yang dirempuh kereta dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di Jalan Ampang di sini, Sabtu lalu, diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Advertisement
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek lelaki berusia 24 tahun yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur telah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek telah dibenarkan keluar hospital pada Isnin sebelum hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee pada hari sama.
“Suspek kemudian ditangkap dan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Suspek telah direman tujuh hari sehingga 11 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian jam 5.34 pagi itu, penunggang motosikal berusia 61 tahun dan isteri berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang mangsa.
Pemandu dan penumpang hadapan berusia 23 tahun kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
Seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan telah dibenarkan pulang sebelum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan. - Sinar Harian