BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung tugas rasmi Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Rabu selepas mahkamah bersedia mendengar petisyen bagi menyemak semula had penggal lapan tahun beliau.

Dalam satu kenyataan, Mahkamah Perlembagaan menyatakan lima hakim memihak kepada keputusan menggantung Prayuth sehingga kes berkenaan diputuskan berbanding empat hakim menolak.

"Mahkamah menimbang petisyen itu dan dokumen sokongan, melihat ada alasan munasabah untuk menerima petisyen berkenaan," menurut kenyataan itu.

Prayuth mempunyai masa 15 hari bagi mengemukakan jawapan kepada mahkamah.

Tidak diketahui bila mahkamah akan membuat keputusan muktamad mengenai petisyen itu.

Mahkamah juga akan memutuskan bila sebenarnya Prayuth berkuat kuasa menjadi perdana menteri.

Pindaan Perlembagaan Thailand pada 2017 mengehadkan penggal pentadbiran seseorang perdana menteri secara keseluruhannya ialah selama lapan tahun.

Bekas ketua junta, Prayuth, 68, menduduki tampuk kuasa selepas menggulingkan kerajaan yang dipilih menerusi rampasan kuasa tentera pada Mei 2014.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri menerusi pindaan Perlembagaan selepas rampasan kuasa pada Ogos tahun yang sama.

Parti pembangkang mendakwa, tempoh masa pemerintahan Prayuth selepas beliau mengetuai rampasan kuasa perlu diambil kira dalam tempoh lapan tahun berkenaan dan beliau kini sudah menghampiri tarikh tamat penggalnya.

Bagaimanapun, penyokong Prayuth berkata penggal beliau bermula apabila Perlembagaaan 2017 dikuatkuasakan malah ada yang menyatakan, tempoh itu seharusnya bermula selepas pilihan raya umum 2019.

Jika mahkamah memutuskan untuk menjadikan pindaan Perlembagaan 2017 sebagai asas, Prayuth secara teknikalnya boleh berkhidmat sehingga 2025 atau 2027, andai beliau memenangi pilihan raya umum yang bakal diadakan tahun depan.

Pada Isnin, Mahkamah Perlembagaan menerima petisyen ditandatangani 171 Ahli Dewan Perwakilan pembangkang yang menuntut keputusan dibuat bagi menentukan sama ada Prayuth sudah mencecah had lapan tahun berkenaan.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, 77, mungkin dilantik menjadi perdana menteri sementara.

Sementara itu, pemangku jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata Prayuth menghormati keputusan mahkamah dan sudah pun menghentikan tugas rasmi beliau serta menegaskan penggantungan itu tidak memberi kesan terhadap urusan dan pentadbiran kerajaan.

Sejak pilihan raya umum 2019, Prayuth dan kerajaan campurannya sudah empat kali terselamat dalam proses undi tidak percaya parlimen dengan undian terbaru adalah pada bulan lalu.

-- BERNAMA