Skip to main content

Malaysia

VAMS pacu kelancaran aliran trafik di kawasan tepi jalan KLIA Terminal 2

SEPANG, 14 Nov -- Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani pada Sesi Taklimat Media mengenai Pelan Komprehensif bagi perkhidmatan Aerotrain KLIA hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Izani berkata VAMS adalah sebahagian daripada komitmen perkhidmatan untuk terus mempertingkat pengalaman lapangan terbang secara menyeluruh bagi penumpang dan pemandu di KLIA. - Gambar fail/Bernama

SEPANG: Pelaksanaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T2) pada 31 Mac lepas telah melancarkan aliran trafik di kawasan tepi jalan dengan ketara, sekali gus menyediakan pengalaman menurunkan dan mengambil penumpang yang lebih lancar serta cekap.

Sepanjang April dan Mei 2026, pengguna merekodkan purata masa menunggu sekitar tiga minit, iaitu jauh lebih rendah daripada tempoh tangguh selama 10 minit yang ditetapkan.

Dalam tempoh dua bulan itu, 99 peratus pengguna, mewakili 1,117,170 daripada 1,127,986 kenderaan di T2 mematuhi tempoh tangguh berkenaan, mencerminkan tahap penyesuaian awam yang tinggi serta peningkatan disiplin di kawasan tepi jalan.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani berkata VAMS adalah sebahagian daripada komitmen perkhidmatan untuk terus mempertingkat pengalaman lapangan terbang secara menyeluruh bagi penumpang dan pemandu di KLIA.

“Selain meningkatkan aliran trafik dan kecekapan di kawasan tepi jalan, sistem ini menyumbang kepada persekitaran lapangan terbang yang lebih lancar, teratur dan berorientasikan perkhidmatan bermula dari titik sentuhan pertama dalam perjalanan penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keputusan awal yang memberangsangkan di T2, susulan kejayaan pelaksanaan di KLIA T1 pada 1 Dis tahun lepas, mengukuhkan lagi visi jangka panjang untuk membangunkan operasi lapangan terbang yang lebih pintar, responsif dan bersedia menghadapi masa hadapan.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus menambah baik sistem ini dan meningkatkan keseluruhan pengalaman di kawasan tepi jalan, di samping meneroka pelaksanaan VAMS di lapangan terbang lain dalam rangkaian kami,” katanya.

Sejak pelaksanaan di T1 dan T2, VAMS telah membantu mengurus trafik di kawasan tepi jalan secara cekap dengan mengendalikan lebih 7.3 juta kenderaan setakat ini.

VAMS direka untuk mengoptimumkan aliran trafik di zon kawasan tepi jalan KLIA yang mempunyai permintaan tinggi, dengan kenderaan dijangka menyelesaikan urusan menurunkan dan mengambil penumpang dalam tempoh 10 minit.

Sistem itu turut merangkumi langkah perlindungan bagi mengurus kesesakan dan kelewatan operasi.

Pengawal trafik dan pasukan tindak balas ditempatkan di seluruh kawasan tepi jalan bagi menyediakan bantuan segera manakala operasi palang secara manual serta sistem bekalan kuasa sandaran membantu memastikan pergerakan trafik terus berjalan lancar apabila diperlukan.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement