KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) membuka tirainya pada Rabu dengan momentum yang memberangsangkan apabila menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, pelabur dan pakar teknologi bagi mempercepatkan agenda peralihan tenaga Malaysia di tengah-tengah peningkatan pesat terhadap permintaan kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital.
Persidangan utama anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berlangsung dari 3 hingga 5 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam ucaptama khasnya, beliau menyifatkan ETCon26 sebagai platform serantau yang tepat pada masanya serta strategik dalam memperkukuh kerjasama, memacu pelaksanaan dan memajukan penyelesaian praktikal bagi agenda peralihan tenaga di Malaysia dan ASEAN.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada TNB atas kejayaan penganjuran ETCon edisi kedua ini dan menjadikannya sebagai platform yang diyakini, menghimpunkan pemikir terbaik dari seluruh dunia.
Persidangan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mempercepatkan peralihan tenaga serta menggerakkan perbincangan kepada pelaksanaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan ETCon26, pada Rabu.
Hari pembukaan ETCon26 turut menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian penting dan pengiktirafan yang disaksikan oleh Fadillah, sekali gus menandakan momentum kukuh dalam memajukan agenda peralihan tenaga negara.
Antara sorotan utama ialah penyampaian pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong milik TNB di Terengganu yang baru dilancarkan. Projek tersebut diiktiraf sebagai projek BESS pertama Malaysia yang disambungkan ke grid (First Grid-Forming, Grid Connected BESS Project).
Fasiliti berkapasiti 100MW/400MWh itu telah ditauliahkan lebih awal daripada jadual pada 16 April 2026 dan mampu menyokong permintaan elektrik bagi kira-kira 40,000 isi rumah.
Pencapaian tersebut turut menandakan satu langkah penting dalam usaha pemodenan grid negara serta memperkukuh keupayaan Malaysia melaksanakan projek penyimpanan tenaga bateri berskala besar pada tahap komersial.
Turut menjadi tumpuan ialah pertukaran Perjanjian Pemegang Saham dan Kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan melibatkan TNB Power Generation Sdn Bhd, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Cypark Renewable Energy Sdn Bhd dan Fabulous Sunview Sdn Bhd bagi projek Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) di Kenyir, Terengganu.
Projek tersebut menggabungkan kapasiti penjanaan solar terapung sebanyak 785MWp dengan sistem BESS berkapasiti 1,190MWh, yang merupakan terbesar di Asia Tenggara. Ia dijangka memperkukuh aspirasi Malaysia untuk memperluaskan penyelesaian tenaga boleh baharu bersepadu serta meningkatkan keselamatan tenaga negara bagi jangka panjang.
Fadillah turut menyaksikan pertukaran Joint Venture Head of Terms antara TNB Renewables Sdn Bhd dan SME Consortium bagi pembangunan projek Ground Mounted Solar berkapasiti 750MWp bersama sistem BESS berkapasiti 1,000MWh.
Selain pengumuman projek dan kerjasama strategik, hari pertama ETCon26 turut menampilkan pelbagai sesi plenari dan dialog yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin utiliti, pemain teknologi, pelabur dan pakar tenaga dari seluruh ASEAN serta komuniti antarabangsa.
Antara sesi utama ialah “Beyond the Trilemma: Managing Complexity in the Age of Electrification” yang meneroka strategi praktikal bagi memastikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan mampu milik sambil memajukan usaha penyahkarbonan.
Satu lagi sesi penting, “ASEAN's Net Zero Pathway: Can ASEAN Decarbonise without Nuclear Power?” meneliti peranan tenaga nuklear bersama tenaga boleh baharu dan alternatif rendah karbon lain dalam membentuk masa depan tenaga serantau yang selamat, mampu milik dan mampan.
Perbincangan sepanjang hari turut memberi tumpuan kepada sistem tenaga dipacu AI, grid masa hadapan, adaptasi iklim, pendigitalan, transformasi tenaga kerja dan keterhubungan tenaga ASEAN.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, perbincangan yang berlangsung di ETCon26 memperlihatkan keperluan mendesak untuk kerjasama menyeluruh dalam mencapai agenda peralihan tenaga.
“Perbincangan di ETCon26 jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk semua pihak berkepentingan bekerjasama secara menyeluruh dalam mencapai agenda peralihan tenaga.
“TNB akan terus memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menyokong aspirasi kemampanan dan ekonomi jangka panjang Malaysia dan ASEAN melalui pelbagai usaha termasuk pemodenan grid, integrasi tenaga bersih dan boleh baharu, serta kerjasama strategik,” ujarnya.
Bertemakan “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition”, ETCon26 menghimpunkan kira-kira 80 penceramah dari Malaysia dan seluruh dunia yang mewakili pelbagai sektor termasuk tenaga, teknologi, kewangan, dasar dan infrastruktur.
Persidangan itu berteraskan tiga kandungan utama iaitu Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition for People, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform serantau strategik dalam memajukan kerjasama, penyelarasan dasar dan pelaksanaan penyelesaian praktikal bagi agenda peralihan tenaga di Malaysia dan ASEAN.