BANGKOK: Thailand memperuntukkan kira-kira 7.5 bilion baht (100 baht = RM12.96) untuk membantu mengurangkan impak daripada langkah sekatan yang dikuat kuasa di tapak pembinaan dan restoran di Bangkok dan lima wilayah.

Bermula hari ini, Thailand mengenakan langkah pencegahan lebih ketat untuk membendung lonjakan kes COVID-19 termasuk menutup semua tapak pembinaan serta kem pekerja di Bangkok dan lima wilayah iaitu Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan, Samut Sakhon dan Nakhon Pathom, selama sebulan.

Di bawah inisiatif 'gelembung dan tutup', Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha berkata semua pekerja mesti tinggal di kem mereka.

"Bantuan akan disediakan kepada majikan dan pekerja yang terjejas untuk membantu meringankan beban akibat penutupan itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dianggarkan 700,000 pekerja di enam wilayah akan terjejas berikutan penutupan itu.

Selain penutupan tapak pembinaan dan kem pekerja, kerajaan turut melarang makan malam di restoran serta berhimpun melebihi 20 orang.

Selain itu, pihak berkuasa juga mendirikan pusat pemeriksaan di empat wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Yala, yang bersempadan dengan Malaysia untuk memudahkan saringan dibuat dan menghalang pergerakan keluar masuk.

Tinjauan Bernama di Nong Chik, Pattani mendapati pihak berkuasa mewujudkan pusat pemeriksaan dan penduduk tempatan perlu membawa surat kebenaran untuk urusan keluar masuk.

Di Bangkok, Pentadbiran Metropolitan Bangkok mendirikan enam pusat pemeriksaan untuk mengelakkan pekerja meninggalkan bandar raya itu dan balik ke kampung masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr Supakit Sirilak berkata kes jangkitan melibatkan varian Delta yang pertama kali dikesan di India, dilaporkan meningkat dengan ketara, terutama di Bangkok menyaksikan lebih 800 orang telah dijangkiti sejak April.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 5,406 kes baharu COVID-19 dan 22 kematian, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 249,853 dan korban seramai 1,934 setakat ini.

-- BERNAMA