BANGKOK: Thailand meningkatkan persiapan di wilayah selatan bagi menghadapi peningkatan hujan yang dijangka dalam beberapa hari akan datang, dengan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mengarahkan pihak berkuasa memastikan petugas, jentera dan sumber kecemasan bersedia untuk digerakkan serta-merta.
Anutin yang juga Menteri Dalam Negeri dan Komander Pemerintah Pencegahan dan Mitigasi Bencana Kebangsaan berkata hujan di selatan dijangka meningkat apabila sistem cuaca bergerak memasuki wilayah itu.
“Pihak berkuasa perlu menggunakan ramalan cuaca untuk menilai kawasan yang berisiko dilanda banjir kilat, limpahan air dari kawasan hutan dan tanah runtuh, selain memastikan petugas, jentera tindak balas bencana serta sumber bersedia untuk digerakkan serta-merta,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemerintah Pencegahan dan Mitigasi Bencana Kebangsaan pada Jumaat.
Jabatan Meteorologi Thailand pada Khamis mengeluarkan nasihat cuaca di seluruh negara dengan memberi amaran mengenai hujan lebat yang boleh mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di utara dan selatan, dengan sistem cuaca baharu dijangka antara 5 hingga 10 Okt.
Anutin berkata gabenor wilayah perlu menerajui pengurusan situasi di kawasan masing-masing dengan memahami secara jelas kawasan berisiko, keperluan orang ramai dan kekangan sumber.
“Sekiranya sesuatu situasi melebihi keupayaan mereka, bantuan daripada pihak berkuasa pusat atau kawasan berdekatan perlu segera diminta,” katanya.
Anutin turut mengarahkan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) supaya menyelaras dengan pihak berkuasa wilayah, pusat pencegahan dan mitigasi bencana serantau serta agensi berkaitan untuk memantau situasi sepanjang masa.
“DDPM turut ditugaskan memeriksa tahap kesiapsiagaan petugas, jentera, pam air, bot dan peralatan kecemasan lain, selain merancang pengerahan sumber tambahan serta jentera tindak balas bencana ke selatan,” katanya.
Anutin menekankan keperluan wilayah menyediakan pusat pemindahan dan sistem amaran serta memastikan bekalan makanan, air minuman, kemudahan sanitasi, tempat tidur dan penjagaan kesihatan mencukupi untuk mangsa yang dipindahkan, khususnya golongan rentan.
Beliau berkata tindak balas kerajaan perlu merangkumi semua peringkat bencana, daripada kesiapsiagaan dan amaran awal kepada pemindahan, bantuan, pemulihan dan pampasan.
Wilayah selatan merupakan destinasi utama pelancong Malaysia dengan lebih 3.5 juta pelawat dari Malaysia direkodkan di Thailand pada 2024.
Wilayah itu terjejas teruk akibat banjir besar pada November 2025 yang dilaporkan meragut lebih 145 nyawa dan menjejaskan kira-kira 3.54 juta orang.
-- BERNAMA