Ringkasan AI
- Ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) dijalankan serentak di seluruh negara dari 10.10 hingga 10.30 pagi untuk menguji keupayaan notifikasi kecemasan.
- Orang ramai menyambut baik inisiatif MySiren kerana membantu mereka bertindak lebih pantas dan menerima maklumat awal mengenai risiko bencana.
- Pengguna di pelbagai negeri menerima notifikasi tepat pada masanya, termasuk di kawasan capaian internet rendah, meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan kecemasan.
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang menerima notifikasi kecemasan menerusi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) pagi ini menyifatkan inisiatif itu amat membantu mereka untuk bertindak dengan lebih pantas.
Ujian MySiren dilaksanakan serentak di seluruh negara dari 10.10 hingga 10.30 pagi ini bagi menguji keupayaan sistem menyalurkan notifikasi kecemasan secara pantas kepada telefon bimbit pengguna.
Di KEDAH, Zahariah Abd Hamid, 45, yang tinggal berhampiran Titi Hayun, Yan berkata sistem itu dapat mengurangkan kegusaran penduduk yang pernah berhadapan banjir besar akibat kepala air pada 2021.
“Pada 2021, kami terkejut dengan kejadian itu yang berlaku tiba-tiba tanpa sebarang amaran. Dengan MySiren, ia dapat memberikan amaran awal supaya penduduk dapat menyelamatkan diri dan harta benda,” katanya kepada Bernama hari ini.
Muhammad Syahir Ibrahim, 27, dari Taman Impian, Alor Setar berkata amaran secara serentak semasa dirinya sedang beriadah dengan rakan mengejutkan, namun berjaya menarik perhatian mereka untuk memeriksa telefon bimbit masing-masing.
Di SELANGOR, pekerja pembersihan Kamsiah Mat Ali, 59, berkata MySiren mampu memberi peringatan dan makluman kepada orang ramai mengenai risiko berlaku bencana menerusi siren yang kuat dan jelas.
“Sebelum ini, jika berlaku banjir, kita biasa menerima makluman melalui teks pesanan ringkas. Penggunaan siren menjadi sesuatu yang baharu kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama.
Penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Aisyah Halim, 20, berkata inisiatif kerajaan melaksanakan sistem amaran itu langkah positif dalam memastikan orang ramai mendapat maklumat awal mengenai risiko bencana.
Bagaimanapun, Aisyah berharap kerajaan dapat memperincikan tahap atau kategori bencana yang mengaktifkan siren itu dan menyediakan panduan tindakan perlu diambil orang ramai bagi mengelakkan kekeliruan serta situasi panik, khususnya kepada mereka yang pertama kali menerima amaran tersebut.
Di PAHANG, Pengerusi Persatuan Penduduk Impian Bestari, Kuantan Yuslizar Razali berkata amaran itu dapat membantu penduduk bertindak lebih pantas termasuk jika banjir berlaku ketika mereka sedang tidur berikutan kawasan kediaman tersebut kerap dilanda bencana itu.
“Pernah banjir berlaku pada kira-kira 3 pagi dan ramai hanya sedar apabila suasana kecoh walaupun air sudah melimpah dari awal menyebabkan ada yang panik untuk berpindah.
“Amaran seperti ini dapat mengejutkan orang ramai terutama semasa sedang tidur untuk bertindak lebih awal,” katanya.
Peniaga pakaian terpakai Farid Danniel Muhammad Nasri, 37, yang menerima amaran itu semasa menghadiri Majlis Konvokesyen 2026 Kolej Universiti Yayasan Pahang dan Kolej Yayasan Pahang berkata walaupun masa penerimaan notifikasi dalam kalangan hadirin berbeza, MySiren dapat membantu mereka yang sering berhadapan banjir.
Di JOHOR, peniaga dari Batu Pahat Khairul Izzat Ariss, 43, yang menerima notifikasi itu pada 10.10 pagi berkata amaran awal dapat membantunya membuat persiapan menghadapi banjir kerana lokasi kedai yang berhampiran Sungai Batu Pahat.
Di Mersing, Mohamad Sulhi Saari, 38, yang menerima notifikasi berserta bunyi amaran pada waktu sama berkata sistem itu dapat menyampaikan maklumat kecemasan terus kepada orang ramai jika berlaku bencana seperti gempa bumi atau banjir.
Faisya Farain Ramli, 33, di Johor Bahru pula berkata menyangka telefon bimbitnya digodam apabila amaran berbunyi ketika sedang makan, sebelum membaca mesej pada skrin yang memaklumkan ujian MySiren sedang dijalankan.
Di TERENGGANU, peniaga kedai makan di Kampung Banggol Kapas, Bukit Payong Siti Noraida Salleh, 39, berkata terkejut apabila telefon bimbitnya berbunyi kuat pada 10.10 pagi ketika sedang membancuh minuman pelanggan.
“Memang terkejut juga bila mendengar bunyi telefon bimbit tetapi apabila membaca notifikasi dipaparkan, saya tidak panik kerana pernah terbaca mengenai pelaksanaan ujian itu,” katanya.
Di KELANTAN, pembantu tukang masak Rosmarini Abdul Rahman, 50, mengakui terkejut apabila telefon bimbit dalam mod senyap berbunyi pada 10.10 pagi ketika bekerja dan menyifatkan langkah itu sebagai inisiatif baik dalam menyampaikan maklumat kecemasan dengan lebih pantas.
Hazira Ahmad Zaidi, 37, dari Kampung Lundang pula berkata menerima notifikasi pada 10.10 pagi ketika memandu ke tempat kerja dan menghargai kemudahan menerima amaran tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan.
“Waktu penerimaan notifikasi juga tepat seperti diwar-warkan. Secara tidak langsung juga, pelaksanaan amaran ini membolehkan orang ramai mendapat maklumat awal jika berlaku kecemasan atau bencana dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
Di SABAH, suri rumah Sarimah Ismail, 49, dari Tuaran berkata dirinya serta suami dan tiga anak menerima amaran MySiren pada 10.15 pagi termasuk suaminya yang berada di kawasan luar bandar dengan capaian Internet kurang baik.
Petugas media Khatijah Jistoh, 38, dari Tawau yang turut menerima amaran itu berkata sistem tersebut membolehkan penduduk memperoleh maklumat awal dan membuat persediaan menghadapi kecemasan.
Di PERAK, pengunjung Pasar Sementara Pasir Puteh di Ipoh Diyana Zuhair, 29, berkata menerima amaran pada 10.10 pagi ketika membeli barangan keperluan dan menyifatkan sistem itu sebagai inisiatif baik untuk memberikan amaran awal mengenai bencana.
Di PERLIS, Ketua Biro Bernama Nurrul Huda Ahmad Lutfi dan empat petugas biro negeri itu menerima amaran pada 10.10 pagi dan deringan amaran yang kuat itu dapat membuatkan pengguna lebih peka jika berlaku kecemasan termasuk pada waktu malam.
MySiren ialah Sistem Amaran Awal (EWS) Malaysia yang dibangunkan untuk memberi amaran kepada orang ramai semasa kecemasan supaya dapat mengambil tindakan segera bagi melindungi nyawa dan harta benda.
-- BERNAMA