Skip to main content

Politik

DAP cadang PRN Pulau Pinang serentak dengan PRU akan datang

Anthony (tengah) hadir ke Konvensyen Tahunan Negeri DAP 2026 bersama pemimpin tertinggi lain pada Ahad. - Foto Sinar Harian
Anthony (tengah) hadir ke Konvensyen Tahunan Negeri DAP 2026 bersama pemimpin tertinggi lain pada Ahad. - Foto Sinar Harian

Ringkasan AI

  • DAP mencadangkan PRN Pulau Pinang diadakan serentak dengan PRU akan datang bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi.
  • Cadangan tersebut akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan bersama rakan Pakatan Harapan sebelum keputusan dimuktamadkan.
  • Anthony Loke menegaskan pilihan raya serentak dapat mengelakkan peratusan keluar mengundi rendah seperti yang berlaku dalam beberapa PRN sebelum ini.
Advertisement

GEORGE TOWN: DAP mencadangkan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diadakan serentak dengan pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, cadangan itu akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP untuk dibincangkan sebelum keputusan dibuat bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, cadangan itu mengambil kira perubahan situasi politik semasa berbanding pilihan raya lalu ketika PH berada di blok pembangkang di peringkat Persekutuan.

Advertisement

“Pilihan raya yang lalu, kita tidak mengadakan serentak sebab ketika itu kita berada di barisan pembangkang dan memang kita telah menyatakan pendirian kita supaya sampai ke akhir tempoh tetapi tidak disambut oleh Perdana Menteri ketika itu.

“Namun, keadaan pada hari ini kita melihat salah satu faktor yang kita harap dapat memastikan ialah peratusan pengundi yang lebih tinggi dalam pilihan raya,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2026 di sini pada Ahad.

Sebelum itu, Anthony memohon kesemua perwakilan yang hadir mengangkat tangan tanda setuju terhadap cadangan tersebut.

Kesemua perwakilan dilihat telah mengangkat tangan menandakan bersetuju dengan kenyataan Anthony itu.

Dalam pada itu, Anthony menambah, PRN yang diadakan secara berasingan berisiko menyebabkan kadar keluar mengundi lebih rendah seperti yang dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.

“Kalau kita mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan, salah satu risiko ialah peratusan mengundi akan menurun.

“Ini amat terbukti, bukan saja dalam enam pilihan raya negeri pada tahun 2023 tetapi seperti di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, peratusannya memang lebih rendah daripada pilihan raya umum,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pilihan raya serentak merupakan satu pilihan yang lebih baik bagi memastikan lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Bagaimanapun, Anthony menegaskan cadangan itu masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan lebih lanjut di peringkat CEC serta bersama rakan-rakan PH.

Dalam pada itu, Anthony berkata, DAP Pulau Pinang perlu menggabungkan seluruh kekuatan parti bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang sekali gus mempertahankan kerajaan negeri selepas empat penggal berturut-turut mentadbir Pulau Pinang.

Menurutnya, setiap pilihan raya mempunyai cabaran tersendiri dan parti perlu memastikan pasukan terbaik ditampilkan kepada pengundi bagi mengekalkan keyakinan rakyat.

“Kita sudah memerintah Pulau Pinang selama empat penggal berturut-turut. Sudah tentu setiap penggal akan ada cabaran.

“Untuk memastikan kita mengekalkan kemenangan dan keyakinan pengundi Pulau Pinang, kita mesti menggabungkan semua kekuatan serta memastikan kita memberikan pasukan terbaik kepada pengundi,” katanya.

Beliau berkata, DAP dan PH mempunyai rekod pembangunan yang boleh diketengahkan kepada rakyat khususnya dari segi pembangunan infrastruktur serta pertumbuhan ekonomi negeri sepanjang 18 tahun pentadbiran.

Anthony turut menyifatkan penglibatan PH dalam kerajaan Persekutuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini memberi peluang membawa pelbagai projek infrastruktur penting ke Pulau Pinang termasuk projek LRT Pulau Pinang dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Dalam tempoh 18 tahun lalu, kita boleh menunjukkan laporan pencapaian mengenai kemajuan yang telah kita bawa kepada Pulau Pinang, khususnya dari segi pembangunan infrastruktur, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan.

“Terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, melalui penglibatan kita dalam kerajaan Persekutuan, kita telah membawa banyak projek infrastruktur penting ke Pulau Pinang, khususnya Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berharap pencapaian berkenaan dapat meyakinkan rakyat dan pengundi Pulau Pinang bahawa DAP serta PH masih menjadi pilihan terbaik untuk menerajui negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Jun lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang berpandangan sukar untuk menyelaraskan PRN serentak dengan PRU berikutan jurang masa terlalu jauh selain mengambil kira tempoh mandat rakyat masih belum cukup lima tahun.

Kon Yeow berkata, jadual pilihan raya terkini berubah disebabkan pilihan raya lalu yang mana menyebabkan kalendar terganggu.

Beliau berkata, adalah tidak adil bagi negeri yang masih mempunyai baki pemerintahan yang panjang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) semata-mata untuk bersama-sama dengan Parlimen. -- Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement