Ringkasan AI
- GPS memenangi 29 kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
- Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan kemenangan tanpa bertanding membawa amanah dan tanggungjawab lebih besar kepada calon GPS.
- Calon yang menang tanpa bertanding perlu menunaikan janji, memenuhi harapan rakyat dan memastikan pembangunan serta kesejahteraan Sarawak.
SIBURAN: Kemenangan tanpa bertanding bukan satu keistimewaan, sebaliknya membawa amanah dan tanggungjawab lebih besar kepada calon yang bakal bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan calon GPS yang memperoleh kemenangan tanpa melalui persaingan pilihan raya perlu memahami jangkaan rakyat dan memastikan setiap tanggungjawab yang diberikan dilaksanakan sebaik mungkin.
“Siapa-siapa yang menang memang budaya dalam GPS bahawa kemenangan adalah satu amanah. Jadi amanah itu ada tanggungjawab. Bila tanggungjawab itu, kita kena memahami jangkaan daripada pengundi, daripada rakyat Sarawak.
“Maknanya bila kita menang besar, apatah lagi kalau kita menang tanpa bertanding, maknanya tanggungjawab kita lebih berat lagi untuk memenuhi harapan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, kemenangan itu perlu diterjemahkan menerusi usaha menunaikan janji serta membawa Sarawak ke arah pembangunan yang lebih maju dan makmur, selain memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan jentera Bidayuh GPS di sini, pada Ahad.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menegaskan kemenangan tanpa bertanding bukan ruang untuk seseorang wakil rakyat mengejar populariti, sebaliknya perlu dilihat sebagai amanah yang wajib dilaksanakan dengan penuh iltizam.
“Kemenangan ini bukan keistimewaan. Bukannya untuk kita menjadi seorang yang popular tapi lebih untuk kita menanggung amanah, dengan amanah itu dipertanggungjawabkan pada kita, kita akan tunaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.
GPS pada Sabtu mencipta sejarah dalam pilihan raya negeri apabila memenangi 29 kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima 168 kertas pencalonan merangkumi GPS (82 calon); Parti Bansa Dayak Bersatu (PBDS) (29); Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17); Parti Tindakan Demokratik (DAP) (14); Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga); Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) (satu) serta 22 calon bebas.
Baki 53 kerusi akan menyaksikan persaingan calon-calon berkenaan pada 12 Disember ini.