DUNIA
Thailand tolak rundingan pengantara, mahu penyelesaian 2 hala dengan Kemboja - Laporan

Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja meningkat ke tahap kritikal apabila tentera Thailand mengesahkan penggunaan jet pejuang F-16 untuk menyerang sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja - Foto/ Reuters
KUALA LUMPUR: Thailand menolak usaha rundingan membabitkan pengantara atau negara ketiga untuk menamatkan konflik yang sedang berlaku dengan Kemboja.
Ringkasan AI
- Thailand menolak pengantaraan pihak ketiga dalam menyelesaikan konflik sempadan dengan Kemboja dan menegaskan penyelesaian dua hala sebagai pendekatan terbaik, sambil menuntut Phnom Penh menghentikan serangan terlebih dahulu.
- Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura menyatakan bahawa pintu rundingan masih terbuka dan mekanisme ASEAN akan digunakan hanya jika perlu; beberapa negara seperti AS, China dan Malaysia telah menawarkan bantuan dialog.
- Ketegangan meningkat susulan insiden tembak-menembak berhampiran Kuil Ta Moan Thom dan pengesahan penggunaan jet pejuang F-16 oleh Thailand untuk menyerang sasaran ketenteraan di Kemboja.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika ada keperluan untuk mendapatkan bantuan, pihaknya sedia menggunakan mekanisme ASEAN.
"Kami tetap dengan pendirian bahawa mekanisme dua hala adalah jalan penyelesaian terbaik kerana ini adalah konfrontasi antara dua negara. Pintu kami masih terbuka.
"Tetapi yang paling utama, sebelum apa-apa pun, keganasan mesti dihentikan dan pihak Kemboja mesti berhenti.
"Ramai sekutu dan rakan kami seperti Amerika Syarikat (AS) dan China telah menghubungi kami. Mereka ingin mengesahkan fakta dan menyatakan kebimbangan.
"Mereka juga menawarkan bantuan sekiranya diperlukan untuk memudahkan dialog. Namun, pendirian kami buat masa ini ialah kami tidak merasakan perlu kepada pengantaraan pihak ketiga," katanya memetik laporan tersebut pada Jumaat.
Terdahulu, AS dan China, selain Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, menawarkan untuk memudah cara dialog bagi menghentikan konflik tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah menyampaikan mesej kepada kedua-dua pemimpin negara tersebut.
"Dalam perbualan tersebut, atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, saya merayu kepada kedua-dua pemimpin agar segera melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk, serta membuka ruang untuk dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik," katanya.
Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja meningkat ke tahap kritikal apabila tentera Thailand mengesahkan penggunaan jet pejuang F-16 untuk menyerang sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja.
Ia susulan insiden tembak-menembak berhampiran Kuil Ta Moan Thom pada pagi Khamis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami