DUNIA
Thailand turunkan hubungan diplomatik dengan Kemboja susulan insiden periuk api di sempadan

Menurut data kerajaan, Thailand mempunyai 17 pusat sempadan rasmi dengan Kemboja, yang merentasi tujuh wilayah sepanjang 817 kilometer sempadan bersama. - Reuters
BANGKOK: Kerajaan Thailand menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja sebagai tindak balas segera selepas seorang lagi askar Thailand kehilangan kaki akibat letupan periuk api di sempadan Thailand-Kemboja, berhampiran Chong An Ma, di wilayah timur laut Ubon Ratchathani.
Pemangku Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Phumtham Wechayachai berkata keputusan itu dibuat susulan insiden unit rondaan Thailand menemukan periuk api yang baru dipasang, menyebabkan seorang askar kehilangan kaki.
“Sebagai tindak balas, kerajaan memutuskan untuk menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan memanggil pulang Duta Besar Thailand di Kemboja dan meminta Duta Besar Kemboja pulang ke negaranya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata kerajaan turut mengarahkan penutupan semua pintu sempadan di bawah kawalan Tentera Wilayah Ke-2, dengan larangan ketat terhadap kemasukan pelancong.Phumtham berkata Kementerian Luar diarah untuk mengemukakan surat bantahan rasmi keana insiden itu melibatkan periuk api yang baru dipasang.
“Rondaan sebelum ini tidak pernah menemukan alat seumpama itu. Ini adalah periuk api yang baru diletakkan, dalam tempoh masa yang sama. Oleh itu, Thailand bertindak balas dengan sewajarnya,” katanya.
Menurut Tentera Wilayah Ke-2 yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di Timur Laut, seorang askar cedera parah, termasuk kehilangan kaki kanan, selepas terpijak periuk api kira-kira 5.18 petang pada Rabu di kawasan Chong An Ma, daerah Nam Yuen.
Ini adalah insiden periuk api kedua di sempadan Thailand-Kemboja bulan ini.
Pada 16 Julai, satu letupan periuk api di kawasan Chong Bok mencederakan tiga askar Thailand.
Menurut data kerajaan, Thailand mempunyai 17 pusat sempadan rasmi dengan Kemboja, yang merentasi tujuh wilayah sepanjang 817 kilometer sempadan bersama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami