BANGKOK: Hasrat bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra untuk kembali ke negara itu minggu depan ditangguhkan sehingga kerajaan pimpinan Pheu Thai berkuasa.

Memetik Bangkok Post, bekas perdana menteri berusia 74 tahun yang digulingkan oleh rampasan kuasa tentera pada 2006 dan hidup dalam buangan selama 17 tahun itu dijadualkan tiba di lapangan terbang Don Mueang pada Khamis depan.

Rancangan kepulangan Thaksin dikongsikan di Instagram anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra minggu lalu.

Perkembangan ini susulan undian untuk memilih perdana menteri baharu Thailand yang dijadualkan pada hari ini sekali lagi ditangguhkan, sekali gus menjadikan kebuntuan politik di negara ini berlarutan hampir tiga bulan sejak pilihan raya umum berlangsung pada14 Mei lepas.

Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam menangguhkan keputusan bagi kes yang mencabar keengganan Parlimen membenarkan pemenang pilihan raya, Pita Limjaroenrat mendapat peluang kedua untuk menjadi perdana menteri.

Tindakan itu memanjangkan lagi kebuntuan politik Thailand yang mengetepikan parti berkaitan tentera, yang memerintah selama hampir sedekad, dengan parti progresif bergelut untuk mengatasi tentangan daripada kuasa konservatif di Senat.

Sementara itu, media Thailand mencadangkan Thaksin menunggu sehingga kerajaan pimpinan Pheu Thai selesai ditubuhkan memandangkan perbincangan masih diteruskan dengan parti lain untuk membentuk gabungan kerajaan.

Thaksin sudah berhasrat untuk pulang ke tanah air sejak awal tahun 2022.