SINGAPURA: Tharman Shanmugaratnam dipilih sebagai Ketua Negara baharu Singapura selepas memenangi pilihanraya Presiden dengan majoriti yang ketara pada Jumaat.

Mantan Menteri Kanan itu menerima 70.40 peratus undi sementara bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd, Ng Kok Song (15.72 peratus) dan bekas Ketua Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd, Tan Kin Lian (13.88 peratus).

Keputusan rasmi diumumkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) selepas tengah malam.

Keputusan itu tidak jauh berbeza dari keputusan kiraan sampel yang diumumkan lebih awal sekitar pukul 10.45 malam pada Jumaat.

Di Facebook, Tharman mengatakan beliau "benar-benar berasa terharu dengan sokongan yang kuat" yang diberikan oleh pengundi dalam Pilihan Raya Presiden itu.

"Saya percaya pada undi yang diberikan untuk saya dan apa yang saya perjuangkan adalah undi keyakinan bagi Singapura sendiri, dan bagaimana kita boleh maju bersama dan saling tolong menolong sebagai rakyat Singapura."

Beliau juga berterima kasih kepada calon-calon lain yang telah "mengembleng sepenuhnya usaha dan tenaga dalam kempen mereka, dan menjadikannya sebagai pertandingan yang penuh bermakna."

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Tharman dan berkata bahawa beliau yakin bahawa presiden baharu itu akan menjalankan tugasnya dengan cemerlang.

"Sebagai Ketua Negara, beliau akan mewakili kita di dalam dan luar negara, serta melaksanakan kuasa pengawasan, termasuk ke atas rizab negara dan pelantikan penting," kata Lee dalam satu kenyataan yang dipaparkan di laman web Pejabat Perdana Menteri awal Sabtu.

Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua tiga calon yang tampil bertanding dalam Pilihan Raya Presiden itu.

Seorang negarawan dan ahli ekonomi Singapura, Tharman, 66 tahun, berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura antara 2011 dan 2019, dan sebagai Menteri Kanan dalam Kabinet antara 2019 dan 2023.

Peranan lain beliau termasuklah Pengerusi Pihak Berkuasa Kewangan Singapura antara 2011 dan 2023, dan Timbalan Pengerusi GIC antara 2019 dan 2023.

Sebagai bekas ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang memerintah, beliau merupakan Ahli Parlimen (AP) yang mewakili kawasan Taman Jurong dalam GRC Jurong antara 2001 dan 2023.

Beliau membuat penampilan politik pertamanya dalam pilihan raya umum 2001 dan dipilih semula ke Parlimen sebanyak empat kali dalam pilihan raya umum berikutnya pada tahun 2006, 2011, 2015, dan 2020.

Pada Julai 2023, Tharman mengundurkan diri dari Parlimen dan semua jawatan dalam kerajaan serta keluar PAP untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Setakat 8 malam Jumaat, 2,480,760 rakyat Singapura telah mengundi di 1,264 pusat mengundi di seluruh pulau. Seramai 50,152 undi ditolak. - BERNAMA