Skip to main content

Malaysia

GSF 2.0: 29 delegasi Malaysia dibebaskan, dijangka tiba di KLIA Ahad ini - SNCC

GSF 2.0_sumudnusantaraofficial
Sani Araby berkata, 29 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 dijangka berlepas dari Turkiye pada Sabtu.

SEPANG: Seramai 29 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 disahkan sudah dibebaskan daripada tahanan Israel, dan dijangka berlepas dari Turkiye pada Sabtu.

Mereka dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad ini.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby berkata delegasi 39 negara lain juga telah dibebaskan, selepas semua mereka dibawa ke Pelabuhan Ashdod semalam.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berhubung dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berhubung koordinasi pergerakan delegasi Malaysia dari Israel ke Istanbul.

"SNCC dimaklumkan oleh pihak Perdana Menteri bahawa Presiden Turkiye telah menghantar tiga buah kapal terbang Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon yang terletak di tanah haram Israel.

"SNCC juga mengesahkan laporan terkini dari ADALAH bahawa 428 aktivis flotila kini sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon dan dijangka tiba di Istanbul menggunakan tiga penerbangan tajaan khas kerajaan Turkiye dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925," katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Ujarnya, ketiga-tiga penerbangan Turkish Airlines akan berlepas daripada tanah haram Israel malam ini dan tiba di Turkiye jam 10 malam (waktu Malaysia).

Katanya, mereka akan disambut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta kerajaan Turkiye beserta dengan wakil Sumud Nusantara di Istanbul.

Delegasi Malaysia juga akan melalui pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Istanbul berdasarkan laporan dan maklumat bahawa ada tahanan yang telah dipukul serta mengalami kecederaan yang teruk.

Perkembangan itu antara yang terbaharu selepas Pertubuhan hak asasi undang-undang, ADALAH, mengesahkan pihaknya menerima makluman rasmi daripada Perkhidmatan Penjara Israel serta pihak berkuasa berkaitan bahawa semua ahli misi yang ditahan daripada pakatan Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition telah dilepaskan untuk proses pengusiran keluar.

Must Watch Video

Advertisement