ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan terus menyelar rejim Zionis di bawah pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berterusan melakukan kekejaman ke atas rakyat Palestin.

Erdogan juga menyamakan serangan Israel ke atas Gaza dengan layanan Nazi terhadap orang Yahudi.

Tegas Erdogan, kekejaman yang dilakukan Netanyahu tiada bezanya dengan apa yang pernah dilakukan diktator Nazi Jerman, Adolf Hitler.

Erdogan, ketika berucap pada satu acara di Ankara, pada Rabu, turut mengulangi kritikannya berhubung sokongan Barat terhadap Israel dan berkata, Turki bersedia untuk mengalu-alukan ahli akademik dan saintis yang menghadapi penganiayaan kerana pandangan mereka terhadap konflik di Gaza.

“Tiada beza apa yang dilakukan Netanyahu dengan Hitler. Adakah apa yang dilakukan Netanyahu kurang daripada Hitler? Dia menerima sokongan dari Barat. Pelbagai sokongan datang dari Amerika.

“Dan dengan semua sokongan ini, apa yang mereka lakukan kepada lebih 20,000 penduduk Gaza? Mereka membunuh rakyat Gaza,” kata Erdogan.  - Agensi

Erdogan sifatkan kekejaman Netanyahu sama seperti Hitler