PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas dalam kebakaran di sebuah premis komersial di Bangkok pada Ahad yang mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang.
Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan pengesahan itu berdasarkan laporan awal.
“Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang berhubung secara aktif dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden berkenaan.
“Kedutaan akan terus memantau dengan teliti perkembangan situasi di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra memaklumkan kementerian akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan perkembangan terkini sekiranya terdapat maklumat baharu melibatkan rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Bangkok dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular dengan segera, rakyat Malaysia digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau berdepan kecemasan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menerusi talian +66 2 340 5720 atau e-mel [email protected].
Pada Ahad, pihak berkuasa tempatan Bangkok melaporkan kebakaran di sebuah premis komersial mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang, manakala 63 lagi dirawat di hospital, termasuk 22 dalam keadaan kritikal.
Pihak berkuasa Thailand telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
-- BERNAMA