PRESIDEN Azerbaijan, Ilham Aliyev menegaskan pihaknya tidak pernah menyekat kebebasan media, suara dan akses internet di negara tersebut.

Kata beliau, buktinya apabila terdapat sebanyak 80 peratus pengguna internet di negara tersebut.

Memetik laporan TRT World, Ilham Aliyev berkata, negara itu turut membenarkan pihak pembangkang dan kebenaran untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik menjalankan aktiviti secara bebas.

YouTube TRT World

"Kenapa kamu mendakwa masyarakat di Azerbaijan tidak memiliki kebebasan media dan pembangkang? Ini jelas sama sekali berita palsu.

"Kami mempunyai media yang bebas, akses internet yang bebas malah pengguna internet di Azerbaijan adalah lebih 80 peratus.

"Boleh anda bayangkan larangan terhadap media di mana internet adalah bebas, tiada sekatan dan 80 peratus pengguna internet?

"Ini jelas bertentangan dengan pendekatan yang berat sebelah sebaliknya ingin mewujudkan anggapan dalam kalangan penonton di Barat mengenai Azerbaijan," katanya dalam sesi temu bual bersama BBC pada Ahad.

Dalam temu bual yang sama, Ilham Aliyev kemudiannya mengutarakan soalan kepada media antarabangsa itu bagaimana mereka mendapatkan maklumat mengenai Julian Assange.

"Jika kamu mengutarakan soalan seperti ini, boleh saya juga bertanyakan satu soalan. Bagaimana kamu mendapat maklumat apa yang berlaku kepada Encik Assange?

"Adakah ia mencerminkan kebebasan media di negara anda? Ayuh kita berbicara mengenai Assange. Berapa tahun dia menghabiskan masa di Kedutaan Ecuador? Untuk apa dan di mana dia sekarang?" soal beliau.

Julian Assange merupakan individu yang bertanggungjawab di sebalik penyebaran dokumen rahsia milik Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada 2010.

Tegas Aliyev, BBC tidak mempunyai hak untuk mewujudkan persepsi terhadap kebebasan media dan suara masyarakat di Azerbaijan.

"Bagi aktiviti kewartawanan, kamu menyimpan orang sebagai tahanan sebenarnya telah 'membunuh' dia secara moral dan fizikal.

"Kamu yang lakukannya, bukan kami dan sekarang dia berada di penjara. Jadi kamu tidak mempunyai hak secara moral untuk bercakap mengenai kebebasan media ketika kamu melakukan semua itu," katanya lagi.