Seorang lelaki yang tidak mengetahui bahawa dirinya berstatus positif-HIV dan telah mendermakan darah, selepas menipu sewaktu mengisi borang yang memerlukan seseorang penderma jujur tentang sejarah hubungan seks.

Portal berita Channel News Asia melaporkan, oleh kerana lelaki berusia 35 tahun itu melakukan pengisytiharan palsu di bawah Akta Penyakit Berjangkit, dia dijatuhkan hukuman empat bulan penjara dan didenda S$10,000 pada Rabu (2 Oktober).

Lelaki yang bekerja sebagai juruukur bahan itu tidak boleh dinamakan kerana terdapat perintah larangan sementara untuk melindungi identitinya.

Dia sebelum ini sudah menderma darah sebanyak lima kali tanpa sebarang masalah, namun ketika sesi menderma kali keenam, darahnya didapati mempunyai virus HIV.

Perbicaraan mahkamah mendedahkan bahawa pada 30 September 2017, lelaki itu telah ke Pusat Sains Kesihatan (HSA) Singapura untuk menderma darah.

Sebelum menderma, calon penderma perlu melengkapkan borang yang antaranya bertanyakan sama ada: “Pernahkah menjalin huungan seks dengan lelaki lain?” dan satu lagi soalan iaitu “Pernahkah melakukan hubungan seks dengan seseorang yang dikenali dalam tempoh kurang daripada enam bulan?”

Lelaki itu menjawab ‘Tidak’ untuk kedua-dua soalan, malah telah menjalani temu duga dan diingatkan tentang hukuman jika memberi maklumat salah.

Namun selepas status jangkitannya terbongkar, lelaki itu telah ditahan dan akhirnya mengakui kepada pihak Kementerian Kesihatan republik itu bahawa dia pernah mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki warga asing yang ditemuinya pada Jun 2017, selain mengadakan hubungan seks dengan orang yang tidak dikenali sewaktu mengunjungi Filipina.

Dia seterusnya mengaku bahawa telah mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki pada pertengahan tahun 2017 di dalam sebuah tandas awam di Singapura.

Pihak pendakwaraya menegaskan bahawa tertuduh seharusnya dikenakan hukuman berat memandangkan “darah yang telah didermakan itu mempunyai risiko telah dipindahkan kepada penerima yang malang menerusi proses pemindahan darah.”

Pihak peguam bela pula merayu agar denda itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempu untuk membayar, seterusnya meminta hukuman dilonggarkan sedikit memandangkan lima pendermaan darah sebelum ini, lelaki itu tidak menghadapi masalah.

Sementara itu, pihak Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan bahawa darah yang didermakan oleh lelaki itu belum digunakan dan telah dilupuskan.