Skip to main content

Politik

PRN Johor: SPR adakan mesyuarat khas tentu tarikh penting 12 Jun

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia - SPR -- FB
SPR akan mengadakan satu sidang media sejurus selepas mesyuarat khas berkenaan.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 12 Jun ini bagi membincangkan urusan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16 susulan pembubaran pada 1 Jun lepas.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata SPR secara rasmi telah menerima notis daripada Speaker DUN Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi berhubung pembubaran selaras dengan Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Sehubungan itu, mesyuarat khas tersebut yang dipengerusikan Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN Johor, termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan.

"Selain itu, mesyuarat turut membincangkan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, berdasarkan Fasal 23(4) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Tambah beliau, SPR akan turut mengadakan satu sidang media sejurus selepas mesyuarat khas berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, secara rasmi dibubarkan pada 1 Jun bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Onn Hafiz berkata, pembubaran DUN itu dibuat selepas beliau menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. 

 

Must Watch Video

Advertisement