PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan pembangunan perkhidmatan digital sektor awam perlu diuruskan secara dalaman bagi memperkukuh aspek keselamatan serta kedaulatan data negara.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, pada Jumaat.
Menurutnya, pembangunan perkhidmatan digital akan diselaraskan oleh Kementerian Digital, khususnya melalui Jabatan Digital Negara.
"Perdana Menteri memaklumkan dan memutuskan bahawa aspek pembangunan perkhidmatan-perkhidmatan digital perlu diurus secara dalaman oleh pihak kerajaan yang akan diselaraskan oleh Kementerian Digital, khususnya melalui Jabatan Digital Negara.
"Ini mengambil kira aspek keselamatan dan kedaulatan data, akses langsung kepada kod sumber (source code) serta pembangunan bakat terutama dalam kalangan penjawat awam," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet, di sini, pada Jumaat.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pendekatan itu juga dilihat mampu memperkukuh keupayaan kerajaan dalam mengurus serta membangunkan sistem digital secara lebih mampan pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Perdana Menteri turut mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan lesen, visa atau kemudahan perniagaan yang diberikan di negara ini.
Katanya, perkara itu akan diserahkan kepada agensi penguat kuasa dan pihak berwajib untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
"Kita serah kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan berlandaskan undang-undang dan kita beri peringatan supaya semua peniaga sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang.
"Ini terutama membabitkan mereka yang memiliki lesen untuk berniaga ataupun lesen bagi melaksanakan aktiviti perniagaan," katanya.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kemudahan yang diberikan dan akan terus memperkukuh pematuhan undang-undang.