Pihak berkuasa sedang memburu seorang penyerang yang telah menembak mati sekurang-kurangnya tiga mangsa dan mencederakan dua yang lain dalam kejadian tembakan di sebuah kompleks beli-belah di Washington.

Jurucakap polis Mark Francis berkata, sekurang-kurangnya terdapat seorang suspek dalam kejadian tembakan rambang di Cascade Mall di Burlington, iaitu dikenal pasti sebagai ‘lelaki Hispanik yang memakai baju kelabu’.

Agensi berita tempatan melaporkan, pihak polis pada awalnya mendedahkan foto daripada imej pegun rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan suspek yang memegang senjata seperti raifal.

Mereka kemudian mengedarkan foto pengecaman suspek itu yang sudah diperbesarkan.

Francis memberitahu, tiga wanita terbunuh manakala dua lelaki cedera, dengan salah seorang daripadanya mengalami kecederaan yang dikhuatiri mengancam nyawa.

Polis telah menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.58 petang waktu tempatan mengenai tembakan di dalam kompleks beli-belah itu.

Sehingga kini, semua pihak terus berspekulasi tentang kejadian itu memandangkan siasatan dan perburuan suspek masih dijalankan.

Suspek dikatakan kali akhir dilihat melarikan diri menggunakan lebuh raya sebelum polis tiba di lokasi kejadian.

Kompleks beli-belah itu telah dikosongkan, manakala anggota polis memenuhi kawasan dan ahli paramedik dilihat bergegas untuk menyelamatkan mangsa.

Insiden terbaru ini berlaku kurang seminggu selepas kejadian sembilan mangsa ditikam di sebuah kompleks beli-belah di Minnesota, sebelum pelakunya ditembak mati.