QUETTA: Sekurang-kurangnya tiga maut, manakala 15 yang lain cedera dalam serangan bom bunuh diri berdekatan pusat pemeriksaan keselamatan di barat daya Pakistan.

Menurut pihak berkuasa, serangan pada Ahad itu berlaku di Jalan Quetta-Mastung, 25 kilometer di selatan Quetta, Baluchistan.

Seorang pegawai kanan polis memaklumkan, penyerang dilapor berjalan menuju ke pusat pemeriksaan yang dikawal pasukan pengawal sempadan sebelum meletupkan diri.

Polis juga berkata, sebilangan mangsa cedera dalam keadaan kritikal dan tidak menolak kemungkinan angka korban akan meningkat.

Taliban Pakistan, mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.

Ini merupakan kali pertama Taliban Pakistan mengaku menyerang pasukan keselamatan Pakistan sejak Taliban mengambil alih Afghanistan.