Skip to main content

Dunia

Tiga suspek dipercayai terbabit dalam insiden tembakan maut di Festival Makanan Seattle

A Seattle Police officer sets up police line tape at the site of a shooting at Seattle Center during the Bite of Seattle food festival Sunday, July 26, 2026, in Seattle. (AP Photo/Lindsey Wasson)
Seorang anggota Polis Seattle memasang pita keselamatan di lokasi kejadian tembakan di Seattle Center ketika festival makanan Bite of Seattle berlangsung pada Ahad. - Foto AP
Advertisement

SEATTLE: Polis Seattle kini percaya sekurang-kurangnya tiga individu terbabit dalam insiden tembakan yang meragut tiga nyawa semasa festival makanan tahunan Bite of Seattle pada Ahad.

Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan dua suspek dipercayai berbalas tembakan di kawasan festival yang berlangsung berhampiran Space Needle, antara tarikan pelancongan paling terkenal di bandar itu.

Bagaimanapun, dokumen mahkamah berkaitan penahanan seorang remaja berusia 15 tahun mendedahkan siasatan terkini menunjukkan kemungkinan wujud suspek ketiga dalam kejadian tersebut.

Menurut polis, seorang suspek masih diburu, manakala seorang lagi dipercayai maut di lokasi kejadian.

Dalam insiden itu, tiga mangsa terbunuh, terdiri daripada seorang lelaki berusia 19 tahun, seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang wanita berusia 56 tahun.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir di hospital.

Sekurang-kurangnya empat individu turut cedera, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Remaja yang ditahan telah dibawa ke mahkamah pada Isnin dan kini direman sementara menunggu perbicaraan.

Polis memaklumkan siasatan awal menunjukkan beberapa das tembakan dilepaskan dalam apa yang disifatkan sebagai insiden berbalas tembakan.

Dua laras senjata api turut ditemui di lokasi kejadian.

Festival Bite of Seattle yang berlangsung selama tiga hari dan percuma kepada orang ramai itu lazimnya menarik kehadiran kira-kira 350,000 pengunjung setiap tahun.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pengunjung bertempiaran mencari perlindungan apabila bunyi tembakan kedengaran, dengan ada yang berlindung di sebalik tiang dan gerai di kawasan lobi Space Needle.

Seorang saksi, Nick Bate, berkata beliau pada mulanya menyangka bunyi yang didengari adalah letupan bunga api sebelum melihat orang ramai berlari menyelamatkan diri.

Seorang lagi saksi, Leanne Coles, berkata suasana bertukar cemas apabila pengunjung mula melarikan diri beramai-ramai sejurus tembakan dilepaskan.

Jabatan Polis Seattle berkata siasatan masih diteruskan dan orang ramai diminta menjauhi kawasan terlibat bagi memudahkan proses siasatan.

Datuk Bandar Seattle, Katie Wilson, mengucapkan penghargaan kepada anggota polis yang bertindak pantas menangani insiden berkenaan dan berjaya menahan seorang suspek.

Beliau turut menyifatkan kejadian itu sebagai satu tindakan keganasan yang mengerikan.

"Warga Seattle berkabung bersama keluarga mangsa dan komuniti yang terkesan dengan tragedi ini," katanya.

Gabenor Washington, Bob Ferguson, turut mengecam kejadian tersebut sebagai keganasan yang tidak masuk akal serta menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa dan petugas kecemasan yang terlibat.

 

Must Watch Video

Advertisement