Thailand melaporkan tiga kes baharu jangkitan COVID-19, kesemuanya rakyat Thailand yang kembali dari Sudan dan tiada kematian menjadikan kes kumulatif kepada 3,239 dan 58 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi bagi COVID-19 (CSSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata tiga wanita Thailand berusia 22 hingga 28 tahun itu merupakan antara 245 penumpang yang berada dalam penerbangan sama dengan anak perempuan diplomat Sudan yang diuji positif COVID-19.

"Terdapat 12 penumpang dalam penerbangan sama yang diuji positif COVID-19 setakat ini," katanya pada taklimat harian COVID-19 pada Jumaat.

Daripada 3,239 kes COVID-19 yang dilaporkan, 3,096 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala 85 orang masih berada di wad.

Sementara itu, Thaweesilp berkata semua diplomat dan ahli keluarga mereka yang sebelum ini dibenarkan menjalani tempoh kuarantin kendiri selama 14 hari di kediaman masing-masing, kini dikehendaki menjalani tempoh kuarantin di kemudahan yang disediakan kerajaan atau pusat kuarantin alternatif.

Selain itu, beliau berkata diplomat dan ahli keluarga mereka yang memasuki negara itu perlu menunggu keputusan ujian COVID-19 di lapangan terbang sebelum memasuki kemudahan kuarantin.

Jurucakap Kementerian Luar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Thailand Cherdkiat Attakor berkata semua diplomat yang memasuki negara ini harus mematuhi peraturan negara tuan rumah.

"Diplomat bukan VIP (orang kenamaan) tetapi mereka dilindungi di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik.

"Satu mesyuarat akan diadakan dengan kor diplomatik untuk menjelaskan langkah-langkah ketat ketika memasuki negara ini bagi mengawal penularan COVID-19," katanya.

Semalam, seorang diplomat Kesatuan Eropah (EU) yang pulang dari luar negara dilarang masuk ke kondominiumnya kerana tidak menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan yang disediakan kerajaan.

Beliau kemudian dipindahkan ke sebuah hotel yang dijadikan pusat kuarantin alternatif.

-- BERNAMA