Gajah dengan gajah bergaduh, pelanduk mati tersepit. Itu gambaran paling tepat bagi menggambarkan situasi menyayat hati di Afrin ketika ini.

Operasi tempur tentera Turki menyasarkan anggota Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) di bandar selatan sempadan Syria itu. Namun yang jadi mangsa orang awam, malah hospital yang sepatutnya jadi tempat merawat pesakit turut jadi sasaran.

Pengarah Hospital Afrin, Doktor Juan Mohammad berkata pihaknya kini bukan hanya berdepan kebanjiran mangsa yang berlumuran darah, malah bekalan ubat juga mula habis.

“Hospital ini dibom tiga kali dan kita bernasib baik apabila hanya laman depan dan belakang yang terkena bedilan.

“Tingkap pecah, banyak kereta yang terbakar dan ramai orang awam yang terbunuh di sekitar hospital,” jelas Juan.

Turki melancarkan serangan besar-besaran di Afrin bermula 20 Januari lalu, termasuk bedilan udara dan operasi tempur darat.

Kumpulan bersenjata pro kerajaan memasuki Afrin pada Selasa lalu bagi membantu militia Kurdish berdepan serangan tentera Turki.

Tindakan berkenaan mencabar amaran Presiden Turki Recep Tayyip yang mahu kumpulan itu tidak masuk campur dalam misi Turki mengusir kumpulan militia dari Afrin.

Dalam satu video yang dikeluarkan pada hari sama, anggota dua kumpulan ini dirakam bersama sambil mengibarkan bendera Syria dan YPG dan melaungkan slogan penyatuan Syria.

Ankara menyifatkan YPG sebagai kumpulan pengganas dan mengaitkannya dengan pemberontak Kurdish yang bertanggungjawab melancarkan beberapa serangan di Turki.