SEOUL: Pihak berkuasa metropolitan Seoul menerima 355 laporan individu hilang dipercayai menjadi mangsa tragedi rempuhan ketika festival Halloween di Itaewon, Sabtu malam. 

Memetik laporan Yonhap, pihak berkuasa Seoul berkata siasatan lanjut segera dijalankan.

“Kira-kira 60 pegawai diarah pergi ke 50 buah hospital untuk memberi sokongan kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban, majoriti berusia lingkungan 20-an,” kata wakil dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan bahawa persoalan baharu muncul mengenai kelemahan sistem keselamatan pada acara berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min berkata anggota polis turut dikerahkan ke lokasi lain di daerah itu pada malam kejadian.

“Saya tidak pasti mengenai jumlah sebenar anggota polis yang berada di Itaewon namun, satu jumlah yang munasabah telah dikerahkan ke Gwanghwamun, di mana orang ramai dijangka memenuhi kawasan itu untuk melakukan protes,” katanya.

Tambahnya, pihak polis juga tidak menjangka bilangan pengunjung akan menjadi seramai itu untuk acara sambutan Halloween dan difahamkan bahawa anggota polis yang dikerahkan untuk berkawal adalah hampir sama dengan skala penganjuran sebelumnya.

Dalam pada itu, Dr. Lee Beom-suk yang merupakan salah seorang petugas kesihatan di lokasi kejadian memberitahu terlalu ramai mangsa sehingga petugas terpaksa meminta bantuan orang ramai memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa.

“Saya tidak dapat merasai denyut nadi atau pernafasan mangsa dan kebanyakannya mengalami hidung berdarah. Apabila saya melakukan bantuan pernafasan, saya turut mengepam darah dari mulut mereka,” katanya.