BOSTON: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat punca letupan kapal selam pelancong, Titan yang telah membunuh lima orang ketika menyelam ke bangkai kapal persiaran Titanic yang berusia lebih 100 tahun.

Perkara itu diumumkan pihak berkuasa AS pada Ahad.

Pengumuman ini dibuat sehari selepas Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada mengatakan bahawa mereka sedang menjalankan penyiasatan mereka sendiri mengenai punca letupan Titan, yang telah mencetuskan persoalan mengenai ketiadaan peraturan berhubung ekspedisi sebegitu

"Matlamat utama saya adalah untuk mencegah kejadian serupa berlaku lagi dengan mengemukakan cadangan yang diperlukan untuk meningkatkan keselamatan domain maritim di seluruh dunia," kata Ketua Pasukan Penyiasat Pengawal Pantai AS, Kapten Jason Neubauer dalam sidang media di sini.

Pasukan Pengawal Pantai AS membuka apa yang disebut sebagai Siasatan Lembaga Marin pada hari Jumaat, kata Neubauer, yang turut bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk mengumpul bukti termasuk operasi penyelamat di tapak serpihan di dasar laut kira-kira 488m dari buritan bangkai Titanic, kira-kira 4 kilometer di bawah permukaan laut.

Keputusan siasatan akan dikongsi dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan kumpulan-kumpulan lain "untuk membantu meningkatkan kerangka keselamatan untuk operasi kapal selam di seluruh dunia," kata Neubauer.

Beliau turut memberitahu, Pengawal Pantai AS juga sedang berhubung dengan keluarga kelima-lima mangsa yang meninggal dunia dan penyiasat sedang "mengambil semua langkah berjaga-jaga jika kami berdepan dengan mana-mana sisa manusia." - Agensi