FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad berkata beliau hanya bergurau mengenai hasrat melantik ketua Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White sebagai Setiausaha Akhbar White House yang baharu selepas mengumumkan di media sosial bahawa beliau telah menawarkan jawatan itu kepada rakan karibnya, lapor Associated Press (AP).
Susulan kekalahan besar partinya dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, Trump melakukan rombakan pentadbiran pada Jumaat dengan menggantikan ketua kakitangannya, sebelum memuat naik hantaran pada Sabtu yang menyatakan bahawa beliau telah menawarkan jawatan setiausaha akhbar kepada White.
Bagaimanapun, pada Ahad, Trump berkata perkara itu sekadar "gurauan kecil".
"Saya hanya bergurau, tetapi saya rasa Dana menyukai idea itu dan beliau seorang yang sangat berkebolehan," kata Trump kepada pemberita di Florida sebelum berlepas ke White House.
White dijadual mengunjungi Trump di White House pada Isnin.
Kemenangan bersejarah calon Parti Demokrat, termasuk di kawasan yang dikuasai Parti Republikan selama beberapa dekad, menyebabkan parti itu kehilangan kawalan terhadap kedua-dua dewan Kongres.
Pada Jumaat, Trump menamakan pembantu lamanya Stephen Miller sebagai ketua kakitangan baharu, menggantikan Susie Wiles.
Trump ketika ini tidak mempunyai setiausaha akhbar selepas melantik Katie Zacharia untuk tempoh singkat.
Zacharia yang dilihat gagal menunjukkan prestasi memuaskan ketika mengendalikan sidang media dan wawancara telah meletak jawatan selepas lima hari.
-- BERNAMA-AP