Skip to main content

Dunia

Trump ancam lancar 1,000 peluru berpandu ke atas Iran jika Tehran cuba membunuhnya

U.S. President Donald Trump delivers remarks during a visit to a Mack Trucks' assembly plant, in Macungie, Pennsylvania, U.S., June 23, 2026. REUTERS/Evelyn Hockstein
Trump berkata Washington bersetuju untuk meneruskan rundingan dengan Iran, namun telah memaklumkan kepada Tehran bahawa gencatan senjata telah berakhir. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat mengancam akan melancarkan 1,000 peluru berpandu ke atas Iran, "diikuti ribuan lagi akan menyusul serta-merta", sekiranya Tehran melaksanakan ancaman untuk membunuh beliau, lapor Xinhua.

"Perintah telahpun dikeluarkan dan tentera AS bersedia, sanggup serta berupaya, bagi tempoh setahun, tertakluk kepada lanjutan, untuk memusnahkan sepenuhnya semua kawasan di Iran," katanya menerusi hantaran di Truth Social.

Terdahulu pada Jumaat, Trump berkata Washington bersetuju untuk meneruskan rundingan dengan Iran, namun telah memaklumkan kepada Tehran bahawa gencatan senjata telah berakhir.

"Republik Islam Iran telah meminta kami meneruskan 'rundingan'. Kami bersetuju berbuat demikian, tetapi Amerika Syarikat telah menyatakan kepada mereka, tanpa sebarang keraguan, bahawa gencatan senjata telah berakhir!" tulis Trump di Truth Social.

Tentera AS melancarkan beberapa siri serangan terhadap Iran awal minggu ini sebagai tindak balas terhadap beberapa serangan ke atas kapal dagang yang melalui Selat Hormuz. Sebagai tindak balas, Iran menyerang pangkalan dan kemudahan tentera AS di Kuwait, Bahrain, Qatar dan Jordan menggunakan peluru berpandu serta dron.

Dalam perbualan telefon terbaharu, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman Al Saud membincangkan rundingan AS-Iran dengan Trump.

Agensi Akhbar Saudi melaporkan kedua-dua pihak membincangkan kerjasama Arab Saudi-AS serta kaedah untuk mempertingkatkannya dalam pelbagai bidang. Mereka turut menegaskan kepentingan memastikan keselamatan pelayaran maritim, melindungi laluan perkapalan serta menyokong usaha yang menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau.

Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi dijadual melawat Oman pada Sabtu bagi mengadakan rundingan mengenai Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada usaha memudah cara pergerakan trafik maritim yang selamat di laluan perairan strategik itu, kata jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei.

Jurucakap itu menolak dakwaan AS bahawa Iran meminta rundingan dengan Washington, sambil menegaskan bahawa tiada permintaan sedemikian dibuat. Namun, beliau berkata Iran tidak menolak permintaan Qatar, selaku pengantara serantau, untuk melawat Iran pada Jumaat bagi mengadakan perbincangan.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement