Skip to main content

Malaysia

MIKa lahirkan generasi berintegriti seawal usia

KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan melawat ke ruang kelas bagi menyaksikan Simulasi Pembelajaran Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) serta beramah mesra dengan murid-murid pada pelancarannya di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Raja Permaisuri Agong berkenan melawat ke ruang kelas bagi menyaksikan Simulasi Pembelajaran Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) serta beramah mesra dengan murid-murid pada pelancarannya hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan pelancaran Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras, di sini pada Khamis.

Keberangkatan tiba baginda pada 9.45 pagi disambut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Baginda kemudian berkenan menyempurnakan gimik pelancaran MIKa sebelum melawat ruang kelas bagi menyaksikan Simulasi Pembelajaran MIKa serta beramah mesra dengan murid-murid.

Image
KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah diiringi isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkenan melawat di ruang kelas bagi menyaksikan Simulasi Pembelajaran Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras, hari ini.  Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia.  --fotoBERNA

Inisiatif strategik IIM bersama Kementerian Perpaduan Negara serta pelbagai agensi dan institusi itu memberi tumpuan kepada pembentukan karakter dan penerapan nilai integriti dalam pendidikan awal kanak-kanak.

MIKa merupakan penjenamaan semula dan penambahbaikan menyeluruh Modul Integriti Prasekolah (MIPS) yang diperkenalkan pada 2016 hingga 2017, dan dibangunkan selaras dengan Kurikulum PERMATA Negara serta Kurikulum Prasekolah 2026.

Dibangunkan sejak 2024 dengan sokongan 35 pakar pendidikan awal kanak-kanak, MIKa menyasarkan kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun di TASKA, TADIKA dan prasekolah di seluruh negara.

Menjelang 2030, IIM menyasarkan pelaksanaan MIKa menjangkau lebih 31,000 TASKA, TADIKA dan prasekolah di seluruh negara, melibatkan kira-kira 775,000 kanak-kanak.

Image
KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Pelancaran Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Antara nilai asas yang diterapkan ialah berkata benar, jujur, amanah, bertanggungjawab dan hormat-menghormati menerusi pendekatan pembelajaran yang mesra kanak-kanak, termasuk aktiviti bercerita, nyanyian, simulasi dan seni.

Bahan pembelajaran MIKa turut merangkumi Kompilasi Panduan Asas Sesi (KomPAS), 12 buku cerita serta 12 lagu dan video muzik khas.

Menurut Shamsul Azri, MIKa dibangunkan bagi memastikan nilai integriti dibentuk sejak kecil supaya perkara yang benar menjadi kebiasaan, amanah menjadi pegangan dan melakukan kebaikan menjadi amalan.

Beliau turut menekankan peranan ibu bapa sebagai teladan dalam usaha melahirkan generasi Malaysia yang jujur, amanah, bertanggungjawab dan berintegriti.

Pembangunan MIKa mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), institusi pengajian tinggi serta pertubuhan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.

Image
KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (tengah) berkenan bergambar semasa berangkat pada Majlis Pelancaran Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras, hari ini.  Turut sama isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga, kiri), Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (dua, kiri) dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang

Must Watch Video

Advertisement