KUALA LUMPUR: Syarikat ejen program Malaysia My Second Home (MM2H) digesa mematuhi segala undang-undang tempatan ketika menjalankan promosi dan mendapatkan pelanggan di luar negara bagi mengelakkan kekeliruan serta penipuan dalam kalangan pemohon.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ejen MM2H yang mempunyai lesen di Malaysia tidak seharusnya menganggap semua keperluan kawal selia telah dipenuhi apabila beroperasi di negara lain.
"Apabila memasuki negara lain untuk mempromosikan MM2H dan mendapatkan pelanggan, ejen juga perlu memahami undang-undang tempatan serta bekerjasama dengan pihak tempatan yang sah dan mempunyai kelayakan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tiong berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Malaysia Immigration Association in Korea ketika lawatan beliau ke negara itu baru-baru ini, yang turut dihadiri Presiden persatuan itu Dr Aaron Kim Hong-Seok dan Setiausaha Agung, Kim Jun-Hyung serta beberapa wakil persatuan.
Katanya, wakil persatuan memaklumkan terdapat kemungkinan sesetengah syarikat ejen MM2H di Malaysia kurang memahami sistem kawal selia dan berurusan secara terus dengan individu tempatan, sekali gus menyebabkan banyak pihak mendakwa boleh menguruskan permohonan MM2H.
Tiong berkata, beliau akan mengingatkan semula semua syarikat ejen yang terlibat dalam MM2H supaya mematuhi segala peraturan dan ketetapan selepas kembali ke Malaysia.
"Kita tidak boleh hanya melihat kepada jumlah pemohon yang dibawa masuk. Yang lebih penting ialah melindungi pemohon dan memastikan keseluruhan pasaran berkembang secara telus, sah dan teratur," katanya.
Beliau berkata, mekanisme kerjasama yang lebih jelas antara ejen MM2H di Malaysia dan rakan industri tempatan di negara sasaran penting bagi mengurangkan kesamaran, mengelakkan penipuan serta salah faham dan meningkatkan keyakinan warga asing terhadap program berkenaan.
Tiong berkata, pasaran Korea mempunyai potensi baik untuk MM2H, khususnya dalam kalangan pesara yang berminat menjadikan Malaysia sebagai pilihan kediaman, termasuk ketika musim sejuk di negara itu.
Beliau turut berharap ejen MM2H terus mempergiat usaha promosi di pasaran Korea dan bekerjasama dengan rakan industri tempatan bagi memastikan promosi program itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
-- BERNAMA