Trump bangkitkan isu pengurangan tarif sebelum pertemuan dengan Xi Jinping

Trump berulang kali menuduh China sebahagiannya bertanggungjawab terhadap krisis fentanyl di AS. - Gambar/ Reuters
GYEONGJU (Korea Selatan): Presiden Donald Trump pada Rabu membangkitkan kemungkinan pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas import dari China menjelang pertemuan yang dirancang dengan Presiden China, Xi Jinping, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Presiden Donald Trump membayangkan kemungkinan pengurangan tarif Amerika Syarikat ke atas barangan import dari China, khususnya yang berkaitan dengan isu fentanyl, menjelang pertemuan dengan Presiden Xi Jinping di luar Sidang Kemuncak APEC.
- China dijangka menawarkan kawalan eksport lebih ketat terhadap bahan kimia prekursor fentanyl sebagai pertukaran kepada pengurangan tarif, susulan tuduhan berulang Trump bahawa China menyumbang kepada krisis dadah sintetik itu di AS.
- Pertemuan antara Trump dan Xi dijangka membincangkan pertikaian perdagangan antara dua kuasa ekonomi dunia, dengan latar ketegangan tarif dan tindakan pentadbiran AS terhadap syarikat China yang dikaitkan dengan pengeluaran fentanyl.
Sebelum ini, Wall Street Journal melaporkan, memetik sumber yang mengetahui hal itu, bahawa China dijangka memberi komitmen kepada kawalan eksport yang lebih ketat terhadap bahan kimia prekursor untuk menghasilkan dadah itu sebagai pertukaran bagi pengurangan tarif berkaitan fentanyl ke atas barangan China.
Trump berulang kali menuduh China sebahagiannya bertanggungjawab terhadap krisis fentanyl di AS.
Fentanyl, opioid sintetik yang menyebabkan ketagihan, 50 kali lebih kuat daripada heroin. Menurut pihak berkuasa AS, penggunaan walaupun beberapa miligram boleh membawa maut.
China sejak lama dianggap oleh pihak berkuasa dadah AS sebagai hab pengeluaran bahan kimia yang diperlukan untuk menghasilkan dadah itu.
Tahun lalu, Jabatan Kehakiman AS mendakwa syarikat yang berpangkalan di China dan pekerja mereka atas jenayah berkaitan pengeluaran fentanyl.
Pada Februari, pentadbiran Trump mengenakan duti import tambahan ke atas produk China, dengan alasan krisis fentanyl.
Trump dan Xi dijadualkan bertemu pada Khamis di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), yang bermula di sini pada Jumaat.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pertikaian perdagangan berterusan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


