Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Azam Baki sedia disiasat jawatankuasa bebas berhubung pemilikan saham

AZAM BAKI
Azam menyatakan kesediaan dan keterbukaan beliau untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung isu pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri  Azam Baki bersedia dan terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung isu pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan pada Jumaat, Azam menegaskan, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, selain memaklumkan bahawa semua pengisytiharan kewangan serta harta miliknya telah dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam melalui saluran rasmi seperti yang diwajibkan kepada setiap penjawat awam.

Advertisement

“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi, tetapi juga memastikan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi pencegahan rasuah kekal kukuh.

Azam turut menegaskan, mana-mana individu yang berdepan dakwaan wajar bersikap terbuka dan bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.

“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya. 

Beliau berkata, SPRM sentiasa meneliti setiap laporan atau aduan yang diterima daripada mana-mana pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berdasarkan undang‑undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah.

“Tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” katanya lagi.

Dalam kenyataan itu juga, Azam menyatakan beliau kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang sepanjang perkhidmatannya.

Dalam masa sama, beliau turut memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana mekanisme sah yang ditubuhkan kerajaan bagi menyemak isu berkenaan.

“Saya yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas,” katanya.

Must Watch Video