Skip to main content

Dunia

Trump beri amaran kepada Iran berhubung kelewatan rundingan, bayangkan serangan baharu boleh berlaku

U.S. President Donald Trump looks on during a meeting with Chinese President Xi Jinping (not pictured) on the sidelines of their visit to the Zhongnanhai Garden in Beijing, China, May 15, 2026. REUTERS/Evan Vucci/Pool
Presiden Trump mendakwa, Iran "mengambil masa terlalu lama untuk merundingkan satu perjanjian" berhubung konflik Asia Barat dan kini "perlu membayar harganya. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa pada Rabu bahawa Iran "mengambil masa terlalu lama untuk merundingkan satu perjanjian" berhubung konflik Asia Barat dan kini "perlu membayar harganya," lapor Xinhua.

"Iran hanya pandai bercakap tetapi tiada tindakan," kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social. 

"Mereka mengambil masa terlalu lama untuk merundingkan perjanjian yang sepatutnya memberi kelebihan besar kepada mereka, kini mereka terpaksa menanggung padahnya."

Trump turut membayangkan kemungkinan beliau akan mengarahkan serangan baharu ke atas stesen jana kuasa dan jambatan di Iran, lapor Fox News pada Rabu yang memetik satu temu bual menerusi telefon.

"Saya mungkin akan meneruskannya (serangan)," kata Trump semasa temu bual itu. "Mereka mempunyai peluang untuk menandatangani perjanjian dan bertahan."

Presiden itu mendakwa, Tehran sengaja "melengah-lengahkah AS" dalam perundingan damai yang akhirnya menyaksikan perkembangan yang amat sedikit.

Tentera AS dilaporkan membedil kira-kira 20 sasaran dalam serangan ke atas Iran pada Selasa, sebagai tindak balas terhadap tindakan menjatuhkan sebuah helikopter Tentera Darat AS berhampiran Selat Hormuz.

Sasaran berkenaan merangkumi sistem pertahanan udara, tapak radar dan stesen kawalan darat Iran, menurut kenyataan Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) pada Selasa.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement