DUNIA
Trump beri tempoh maksimum dua minggu kepada Iran sebelum putuskan tindakan

Presiden Trump pada Jumaat memberi amaran bahawa Iran hanya mempunyai tempoh maksimum dua minggu untuk mengelakkan kemungkinan serangan udara dari Amerika Syarikat. - Gambar fail Reuters
MORRISTOWN (Amerika Syarikat): Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat memberi amaran bahawa Iran hanya mempunyai tempoh maksimum dua minggu untuk mengelakkan kemungkinan serangan udara dari Amerika Syarikat, sambil menegaskan beliau mungkin membuat keputusan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkannya sehari sebelum itu.
Trump turut mendakwa, Iran tidak berminat untuk berbincang dengan kuasa-kuasa Eropah, sekali gus menolak kemungkinan rundingan di Geneva dapat menyelesaikan konflik antara Israel dan Iran.
Ketika ditanya sama ada beliau akan meminta Israel menghentikan serangan ke atas Iran seperti yang dituntut oleh Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, Trump berkata, adalah sukar untuk membuat permintaan sedemikian dalam keadaan semasa.
“Saya beri mereka tempoh tertentu dan saya rasa dua minggu adalah maksimum,” kata Trump kepada wartawan ketika tiba di Morristown, New Jersey.Beliau menjelaskan, tujuan tempoh itu adalah untuk melihat sama ada semua pihak mampu bertindak secara rasional.
Pada Khamis lalu, Trump berkata, beliau akan membuat keputusan sama ada untuk melancarkan tindakan ketenteraan atau tidak dalam tempoh dua minggu, sambil menyifatkan masih ada “peluang besar untuk berunding” dengan Iran.
Kenyataan itu dilihat sebagai memberi ruang dua minggu untuk mencari jalan diplomatik menamatkan perang antara Israel dan Iran, sekali gus mendorong kuasa-kuasa Eropah mempercepatkan rundingan dengan Tehran.
Namun, kenyataan terbaharu beliau mencadangkan bahawa keputusan boleh dibuat lebih awal jika tidak ada kemajuan dalam usaha membendung program nuklear Iran.
Trump turut menyatakan keraguan terhadap kemampuan kuasa Eropah untuk mempengaruhi situasi, dengan menyifatkan rundingan antara Britain, Perancis, Jerman dan diplomat Kesatuan Eropah bersama Menteri Luar Iran sebagai “tidak membantu.”
“Iran tak mahu berbincang dengan Eropah. Mereka mahu berbincang dengan kami. Eropah tak akan mampu bantu dalam hal ini,” tegasnya.
Mengulas mengenai permintaan Iran agar Amerika menekan Israel supaya menghentikan serangan, Trump menjawab: “Agak sukar untuk buat permintaan itu ketika satu pihak sedang berada di kedudukan menang.”
Namun begitu, beliau menegaskan, Amerika tetap bersedia untuk berbincang dan akan melihat perkembangan selanjutnya. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami