Trump bertemu Zelenskyy, tolak sidang kemuncak tiga hala

Lawatan Zelenskyy ke Rumah Putih merupakan kunjungan ketiga sepanjang penggal kedua Trump. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy di Rumah Putih pada Jumaat, namun menolak kemungkinan untuk mengadakan sidang kemuncak tiga hala antara Amerika Syarikat, Rusia dan Ukraine dalam masa terdekat, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Presiden AS Donald Trump menolak cadangan sidang kemuncak tiga hala dengan Rusia dan Ukraine, sebaliknya menegaskan pertemuannya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Hungary akan kekal sebagai rundingan dua hala kerana masih wujud permusuhan antara Moscow dan Kyiv.
- Trump enggan membekalkan peluru berpandu Tomahawk kepada Ukraine atas alasan keperluan pertahanan AS sendiri dan risiko peningkatan konflik, sementara Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menggesa Washington terus menekan Rusia dan menekankan keperluan jaminan keselamatan.
- Lawatan Zelenskyy ke Rumah Putih merupakan kunjungan ketiga sepanjang penggal kedua Trump, berlangsung sehari selepas panggilan telefon antara Trump dan Putin, susulan rundingan gencatan senjata yang masih buntu sejak pertemuan terakhir mereka di Alaska.
"Kami lebih suka jika mereka tidak memerlukan Tomahawk. Kami lebih suka peperangan ini berakhir," kata Trump.
"Kami juga memerlukan Tomahawk. Kami tidak mahu memberikan sesuatu yang kami sendiri perlukan untuk melindungi negara kami," katanya.
Zelensky pula berkata terdapat momentum baharu untuk menamatkan konflik Rusia-Ukraine selepas gencatan senjata di Gaza, namun menuduh Moscow enggan kembali ke meja rundingan dan menggesa Washington supaya terus mengekalkan tekanan terhadap Rusia.
"Presiden Trump kini mempunyai peluang besar untuk menamatkan peperangan ini," kata Zelensky sambil menegaskan bahawa jaminan keselamatan adalah "perkara paling penting bagi rakyat Ukraine."
"NATO memang yang terbaik, tetapi senjata sangat penting. Sekutu di pihak kami juga amat penting," katanya.
Beliau berkata bahawa syarikat tenaga Amerika bersedia membantu Ukraine selepas serangan Rusia baru-baru ini ke atas infrastruktur tenaga negaranya.
Lawatan itu merupakan kunjungan ketiga Zelenskyy ke Rumah Putih sepanjang penggal kedua Trump. Pertemuan itu berlangsung sehari selepas panggilan telefon antara Trump dan Putin.
Trump dan Putin kali terakhir bertemu pada Ogos lalu di Alaska untuk membincangkan isu Ukraine, namun tiada persetujuan dicapai dan rundingan gencatan senjata kekal buntu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami