WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata Israel akan berundur dari Gaza selepas Hamas melaksanakan proses pelucutan senjata sepenuhnya di bawah satu perjanjian yang disifatkannya sebagai “bersejarah”.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump memaklumkan bahawa persetujuan itu dicapai menerusi 'Gaza Board of Peace' dan bertujuan menamatkan peranan Hamas sebagai kumpulan bersenjata di wilayah Palestin berkenaan.
Menurut beliau, pengunduran tentera Israel akan dibuat secara berperingkat sebaik sahaja proses pelucutan senjata Hamas selesai dilaksanakan.
Pada masa sama, satu Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan bekerjasama dengan pasukan polis Palestin yang baharu bagi memastikan keselamatan Gaza serta kawasan sekitarnya terus terpelihara.
“Apabila proses pelucutan senjata selesai, tentera Israel akan berundur, manakala Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan bekerjasama dengan pasukan polis Palestin yang baharu untuk memastikan Gaza selamat bagi penduduknya dan negara jiran,” kata Trump.
Beliau berkata perjanjian itu akan memberi jaminan keselamatan kepada Israel, selain memastikan Gaza tidak lagi digunakan sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan terhadap negara itu.
Trump turut menyifatkan persetuan berkenaan sebagai langkah penting ke arah pembentukan sebuah kerajaan Palestin baharu yang akan mentadbir Gaza dan bekerjasama rapat dengan Gaza Board of Peace bagi membantu rakyat Palestin.
Setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pengumuman yang dibuat oleh Trump itu.