MOSCOW:Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang sebelum ini mendedahkan beliau dan isteri, Melania disahkan positif COVID-19, berada dalam keadaan baik.

Agensi berita Sputnik melaporkan, doktor pasangan terbabit, Sean Conley mengesahkan keadaan kesihatan terkini mereka dan memberitahu Trump akan terus menjalankan tugasnya.

"Sekarang presiden dan isteri dalam keadaan baik-baik sahaja dan mereka merancang terus berada di rumah semasa menjalani proses pemulihan.

"Pasukan perubatan Rumah Putih dan saya akan terus memantau dan saya menghargai sokongan diberikan beberapa profesional dan institusi perubatan di negara kita.

"Saya harap Presiden dapat meneruskan tugasnya tanpa sebarang gangguan," kata Conley dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih.