KAPIT: Kemenangan tanpa bertanding calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di beberapa kerusi bukan alasan untuk gabungan itu berasa selesa.
Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu membawa mesej jelas daripada rakyat agar wakil rakyat gabungan berkenaan terus berusaha melaksanakan dasar serta program pembangunan yang telah dirancang.
Menurutnya, mandat berkenaan turut menjadi tanggungjawab besar kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk meneruskan strategi pembangunan negeri seperti digariskan dalam manifesto GPS.
“Memang kita tidak selesa, sebab itu kita mengambil ini sebagai satu mandat yang besar. Rakyat mahu kita lebih berusaha sedaya upaya untuk meneruskan dasar dan juga melaksanakan program pembangunan yang telah dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas di Dewan Masyarakat Song, di sini, pada Sabtu.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit turut mengucapkan tahniah dengan kemenangan tanpa bertanding Lidam Assan di Katibas, yang turut berada dalam kawasan Parlimen Kapit, dengan menyifatkan ia merupakan bukti hasil gerak kerja Lidam sepanjang sepenggal lalu.
Katanya, keputusan itu merupakan satu pengiktirafan dan mandat besar daripada rakyat terhadap GPS.
Terdahulu, beliau mengiringi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas, Lidam Assan daripada GPS yang diumum menang tanpa bertanding selepas muncul sebagai calon tunggal.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada parti-parti politik dari Semenanjung yang memilih untuk tidak bertanding di Sarawak pada PRN kali ini.
Menurutnya, keputusan itu dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan daripada rakan-rakan politik di peringkat nasional terhadap GPS.
Beliau berharap GPS akan terus memperkukuh usaha menyampaikan pembangunan kepada rakyat selepas PRN kali ini.