ISTANBUL: Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Sabtu menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump supaya mengelak daripada mencetuskan kekacauan, sambil berkata masalah boleh diselesaikan menerusi dialog dan pelaksanaan memorandum persefahaman, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Jika kita meneruskan usaha menerusi dialog dan berdasarkan memorandum persefahaman, kita akan menyelesaikan masalah serta menjamin hak kita.
"Adalah demi kepentingan negara, rantau dan dunia supaya Trump tidak mencetuskan kekacauan dan Israel tidak mewujudkan keadaan tidak selamat serta melakukan serangan," kata Pezeshkian pada satu majlis di Tehran, seperti dipetik Agensi Berita Mehr.
Pezeshkian berkata Iran tidak menyokong peperangan tetapi akan bertindak tegas terhadap sebarang serangan.
“Kami tidak menginginkan peperangan, tetapi kami akan berdiri teguh menentang serangan dan mempertahankan diri,” katanya sambil menambah bahawa tiada kuasa mampu memaksa sebuah negara yang bersatu dan bertekad mempertahankan wilayahnya untuk menyerah kalah.
Beliau berkata Tehran berusaha menyelesaikan masalah menerusi dialog, namun menegaskan rakyat, pegawai dan komander tentera Iran "tidak akan sesekali menyerah kalah" dalam menghadapi ancaman dan serangan.
Presiden itu turut menuduh Israel cuba menyemai perpecahan dalam kalangan negara Islam, sambil berkata perpaduan lebih kukuh dalam kalangan negara Islam mampu menggagalkan usaha sedemikian.
Beralih kepada isu domestik, Pezeshkian berkata memastikan pengeluaran industri terus berjalan sepanjang musim sejuk akan datang merupakan "garis merah", sambil menegaskan bekalan gas, elektrik dan air ke kemudahan pengeluaran tidak seharusnya terganggu.
Beliau berkata kerajaan akan mengurus penggunaan air, elektrik, gas dan bahan api. Sekiranya sekatan penggunaan perlu dilaksanakan, sekatan itu akan terlebih dahulu dikenakan terhadap pejabat kerajaan dan bangunan awam dan bukannya membebankan rakyat.
Pezeshkian menyeru rakyat supaya bekerjasama dengan kerajaan bagi mengekalkan kestabilan, sambil berkata pihak yang memusuhi Iran tidak seharusnya menganggap tekanan akan memaksa negara itu menyerah kalah.
Perang AS-Israel terhadap Iran bermula pada 28 Feb lepas dengan serangan menyasarkan tapak ketenteraan, nuklear dan infrastruktur di seluruh negara itu.
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel serta kemudahan ketenteraan AS di seluruh rantau itu.
Iran dan AS mencapai memorandum persefahaman 14 perkara pada Jun menerusi pengantaraan Pakistan dan Qatar, bertujuan menamatkan permusuhan serta membuka tempoh 60 hari bagi rundingan ke arah perjanjian yang lebih menyeluruh.
Memorandum itu turut menyentuh pembukaan semula Selat Hormuz dan penarikan sekatan laut AS, selain isu sekatan serta aset Iran yang dibekukan.
Tehran menegaskan bahawa kemajuan lanjut dalam rundingan bergantung kepada Washington dalam memenuhi komitmennya di bawah memorandum itu, manakala pegawai Iran berkata Selat Hormuz tidak akan dibuka semula sepenuhnya sehingga kewajipan berkenaan dilaksanakan.
-- BERNAMA-ANADOLU