INTERNATIONAL
Trump gantung temu janji visa pelajar, ketegangan baharu dasar imigresen AS

Gambar fail menunjukkan beberapa pelajar berjalan di persekitaran Universiti Harvard. Pentadbiran Trump sebelum ini turut menggantung kebolehan Universiti Harvard menerima pelajar antarabangsa baharu. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan semua misi diplomatik AS di seluruh dunia untuk menghentikan penjadualan temu janji baharu bagi permohonan visa pelajar dan pertukaran pelawat (kategori F, M dan J).
Arahan ini terkandung dalam kabel dalaman yang diperoleh oleh agensi berita Reuters.
Langkah ini diambil ketika Jabatan Negara sedang menilai semula proses saringan keselamatan, termasuk tapisan media sosial yang diperluas terhadap pelajar antarabangsa.
Menurut Setiausaha Negara, Marco Rubio, panduan baharu akan dikeluarkan selepas semakan selesai."Dan semua konsulat diminta menangguhkan permohonan baharu buat sementara waktu" kata Rubio.
Kabel tersebut menjelaskan bahawa hanya temu janji yang telah dijadualkan boleh diteruskan, manakala slot baharu perlu ditarik balik.
Konsulat juga diminta menilai keperluan sumber dan beban kerja sebelum menjadualkan sebarang temu janji selepas ini.
Selain itu, fokus perlu dikekalkan kepada perkhidmatan untuk warganegara AS, visa imigran dan usaha membanteras penipuan.
Pentadbiran Trump turut dikritik kerana menjadikan sokongan terhadap Palestin sebagai alasan untuk membatalkan visa dan kad hijau.
Individu yang menyuarakan kritikan terhadap Israel dalam konflik Gaza dikatakan mengancam dasar luar AS.
Sebagai contoh, seorang pelajar dari Turkiye di Tufts University ditahan lebih enam minggu selepas menerbitkan artikel bersama yang mengkritik respons universiti terhadap konflik di Gaza.
Dia hanya dibebaskan selepas mahkamah membenarkan jaminan.
Pentadbiran Trump turut menggantung kebolehan Universiti Harvard menerima pelajar antarabangsa baharu.
Hampir 27 peratus daripada keseluruhan pelajarnya adalah warga asing, menjadikan keputusan ini satu tamparan besar kepada institusi berprestij itu.
Ini dilihat sebagai usaha untuk melemahkan institusi yang enggan tunduk kepada desakan dasar kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami