Skip to main content

Dunia

Trump jangka konflik baharu AS-Iran tidak berpanjangan

U.S. President Donald Trump attends an event to sign executive orders related to birthright citizenship and the polysilicon industry, in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., August 6, 2026. REUTERS/Evelyn Hockstein
Trump turut memberi amaran bahawa Washington bersedia melancarkan tindakan ketenteraan tambahan sekiranya perlu. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menjangkakan konflik yang kembali tercetus antara Washington dan Tehran tidak akan berlarutan lama, meskipun menegaskan AS bersedia melancarkan serangan lanjut terhadap Iran pada bila-bila masa.

Trump berkata serangan terbaru AS menyasarkan beberapa kemudahan strategik Iran, termasuk peralatan pertahanan dan serangan berhampiran Selat Hormuz, susulan ketegangan yang memuncak selepas kedua-dua pihak kembali berbalas serangan.

Menurut beliau, tentera AS telah memusnahkan sejumlah aset ketenteraan yang didakwa sedang dibangunkan semula oleh Iran, termasuk sistem radar dan peluru berpandu.

Trump turut memberi amaran bahawa Washington bersedia melancarkan tindakan ketenteraan tambahan sekiranya perlu.

Dalam perkembangan berkaitan, Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam serangan Iran ke atas sebuah kapal tangki minyak milik Arab Saudi di Selat Hormuz yang mengorbankan dua mangsa.

Sementara itu, media Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melaporkan sekurang-kurangnya 19 individu, termasuk anggota tentera, terbunuh dalam serangan udara AS yang dilancarkan pada Selasa.

Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, dalam mesej pertamanya sejak konflik kembali memuncak selepas kira-kira sebulan reda, memberi amaran bahawa angkatan bersenjata negara itu akan bertindak balas terhadap AS dengan tegas.

Ketegangan terbaru itu menandakan peningkatan mendadak konflik antara kedua-dua negara, dengan kebimbangan semakin memuncak terhadap keselamatan laluan perkapalan dan bekalan tenaga global di Selat Hormuz, antara laluan perdagangan minyak terpenting dunia.

 

Must Watch Video

Advertisement