Skip to main content

Dunia

Trump janji bantu Lubnan, namun tiada kepastian pengunduran tentera Israel

U.S. President Donald Trump reacts, while shaking hands with Lebanese President Joseph Aoun, during their meeting in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., July 21, 2026. REUTERS/Evelyn Hockstein) REFILE - ADDING INFORMATION
Trump ketika menerima kunjungan Presiden negara itu, Joseph Aoun di White House. - Foto REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berjanji akan membantu Lubnan ketika menerima kunjungan Presiden negara itu, Joseph Aoun di White House, di sini, pada Selasa, di tengah-tengah isu berterusan membabitkan kehadiran tentera Israel di selatan Lubnan.

Bagaimanapun, Trump tidak mengumumkan sebarang dasar baharu atau langkah konkrit berkaitan Lubnan. 

Ketika ditanya mengenai garis masa pengunduran tentera Israel dari negara itu, beliau hanya berkata, proses tersebut sedang berlangsung dan melibatkan penempatan semula pasukan ke kawasan lain.

Kenyataan itu dibuat ketika timbul persoalan mengenai komitmen Israel untuk berundur sepenuhnya daripada kawasan yang didudukinya. 

Sejak Mac lalu, Israel dilaporkan tidak mengundurkan tenteranya dari mana-mana kawasan yang ditawan, meskipun Washington mengumumkan pelaksanaan zon perintis pertama di bawah kerangka kerjasama antara Lubnan dan Israel.

Di bawah kerangka itu, tentera Lubnan sepatutnya ditempatkan di kawasan yang sebelum ini diduduki Israel bagi memastikan tiada kehadiran ketenteraan Hezbollah, sekali gus membolehkan usaha pembinaan semula serta kepulangan penduduk dilaksanakan. 

Namun, tiga bandar yang diumumkan dalam zon perintis pertama itu dilaporkan tidak berada di bawah kawalan Israel, menyebabkan tiada sebarang pengunduran tentera berlaku.

Dalam penampilannya bersama Trump, Aoun tidak menyentuh isu pelanggaran atau tindakan ketenteraan Israel di Lubnan. 

Sebaliknya, beliau memuji Trump dan mengalu-alukan perjanjian kerangka yang diusahakan AS, yang mengaitkan pengunduran Israel dengan proses pelucutan senjata Hezbollah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump dan pasukannya atas lawatan bersejarah ini serta pencapaian penting yang kami capai bersama melalui perjanjian kerangka dengan matlamat untuk menamatkan permusuhan antara Lubnan dan Israel buat selama-lamanya,” kata Aoun.

 

Trump: AS akan bantu Lubnan

Dalam ucapan pembukaannya, Trump menyifatkan Lubnan sebagai sebuah negara yang telah “dilayan dengan buruk” selama beberapa dekad tanpa memperincikan pihak yang dimaksudkan.

“Kami akan membantu Lubnan. Kami akan membantu dengan banyak,” katanya sambil menyambut delegasi negara itu di White House.

Trump turut mengulangi cadangan kontroversinya supaya Syria memainkan peranan membantu melucutkan senjata Hezbollah di Lubnan, meskipun cadangan itu telah beberapa kali ditolak oleh pihak berkuasa Syria.

Beliau sekali lagi memuji Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa yang menurutnya berjaya menyatukan negara itu dan berpotensi memainkan peranan dalam menangani Hezbollah.

“Beliau berjaya menyatukan Syria. Beliau mahu membantu melakukan sesuatu berkaitan Hezbollah. Mereka telah lama bertempur dan saya fikir ia mungkin berkesan,” kata Trump.

Ketika ditanya oleh seorang wartawan Lubnan mengenai bentuk bantuan konkrit yang akan diberikan kepada Aoun, Trump hanya menjawab ringkas: “Anda akan mengetahuinya nanti.”

 

Penerbangan terus AS-Lubnan dibenarkan

Pada hari sama, Trump turut mengumumkan kebenaran kepada syarikat penerbangan AS untuk mengendalikan penerbangan terus ke Lubnan, langkah yang dilihat mampu memudahkan perjalanan puluhan ribu rakyat AS berketurunan Lubnan yang pulang ke negara asal mereka setiap tahun.

“Selepas bertemu Presiden Lubnan, Joseph Aoun, yang telah melakukan tugas cemerlang dalam mentransformasikan negaranya, saya mengarahkan pentadbiran saya membenarkan semua syarikat penerbangan AS mengendalikan penerbangan terus ke Lubnan supaya rakyat AS dapat melawat negara yang indah ini dengan lebih mudah,” katanya menerusi media sosial.

 

Terbuka berbincang dengan Hezbollah

Dalam masa sama, Trump menyatakan kesediaannya untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Hezbollah jika diperlukan.

“Saya bercakap dengan semua pihak. Jika Presiden mahu saya bercakap dengan Hezbollah, saya akan lakukan,” katanya merujuk kepada Aoun, yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai panglima tertinggi tentera Lubnan.

Dalam pertemuan itu, Aoun turut menyeru sokongan berterusan kepada Angkatan Tentera Lubnan (LAF), yang disifatkannya sebagai tunjang keselamatan dan kestabilan negara.

Hubungan antara kerajaan Lubnan dan Hezbollah bagaimanapun terus tegang.

Hezbollah sebelum ini mengkritik keputusan Aoun untuk mengadakan perbincangan secara langsung dengan Israel serta menyokong kerangka yang tidak memasukkan usaha membawa tindakan Israel ke muka pengadilan antarabangsa.

Aoun pula berulang kali menegaskan, tentera Lubnan perlu menjadi satu-satunya pasukan bersenjata yang sah di negara itu, selain menuduh Hezbollah mengheret Lubnan ke dalam konflik demi kepentingan Iran.

 

 

Must Watch Video

Advertisement