DUNIA
Trump lanjut tempoh 90 hari, beri ruang TikTok cari pembeli bukan dari China

Presiden Trump memberikan lanjutan selama 90 hari lagi kepada aplikasi TikTok untuk mencari pembeli baharu yang bukan berpangkalan di China, susulan kebimbangan berterusan terhadap isu keselamatan negara.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberikan lanjutan selama 90 hari lagi kepada aplikasi TikTok untuk mencari pembeli baharu yang bukan berpangkalan di China, susulan kebimbangan berterusan terhadap isu keselamatan negara.
Ini merupakan kali ketiga Trump menangguhkan pelaksanaan larangan terhadap aplikasi popular yang dimiliki syarikat teknologi China, ByteDance.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan White House, lanjutan terbaharu itu bertujuan memberi ruang kepada proses penjualan TikTok kepada entiti yang dilihat lebih selamat dari sudut kawalan data pengguna di AS.
"Presiden Trump tidak mahu TikTok dihentikan secara tergesa-gesa. Tempoh 90 hari ini akan dimanfaatkan bagi memastikan proses penjualan aplikasi itu dapat diselesaikan, agar rakyat Amerika terus dapat menggunakan TikTok dengan jaminan keselamatan data mereka," kata Setiausaha Akhbarnya, Karoline Leavitt.Trump sebelum ini mengeluarkan arahan melalui undang-undang Persekutuan agar TikTok dijual atau berdepan pengharaman, dengan larangan asal dijadual berkuat kuasa sehari sebelum majlis angkat sumpah beliau sebagai presiden pada Januari lalu.
Dalam satu temu bual bersama NBC News pada Mei, Trump menyatakan keterbukaannya untuk memberi peluang kedua kepada aplikasi itu.
"TikTok ada tempat istimewa dalam hati saya. Jika ia perlukan lanjutan, saya bersedia memberikannya," katanya.
Trump juga mendakwa, wujud beberapa pihak yang berminat untuk membeli operasi TikTok di AS dan bersedia membayar jumlah yang besar kepada ByteDance.
Bagaimanapun, TikTok sebelum ini tidak mengambil langkah proaktif mencari pembeli sewaktu arahan larangan pertama dikeluarkan pada 19 Januari.
Larangan itu dibuat selepas timbul dakwaan aplikasi berkenaan berada di bawah pengaruh kerajaan China dan boleh menjejaskan keselamatan negara.
Trump telah dua kali menangguhkan larangan tersebut - kali pertama selama 75 hari selepas beliau mula memegang jawatan dan lanjutan kedua tamat pada 19 Jun.
Antara penyelesaian yang dilaporkan sedang dipertimbangkan ialah cadangan menubuhkan entiti baharu TikTok Global, yang akan dikawal oleh pelabur dari AS.
Beberapa nama besar seperti Oracle dan firma ekuiti persendirian Blackstone turut dikaitkan sebagai pelabur utama.
Ketika ini, sebahagian besar operasi TikTok di AS sudah pun menggunakan pelayan milik Oracle. Pengerusi syarikat itu, Larry Ellison, juga dikenali sebagai sekutu rapat Presiden Trump. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami