WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad mengumumkan bahawa gerbang kemenangan (triumphal arch) yang dirancang untuk dibina berhampiran Washington akan turut berfungsi sebagai sebuah “kompleks ketenteraan” yang menempatkan dron dan penembak tepat.
Cadangan itu menjadikannya projek pembinaan kedua berskala besar yang cuba dipertahankan Trump atas alasan keselamatan negara.
Menurut Trump, keputusan itu dibuat atas permintaan pihak tentera dan selari dengan alasan keselamatan yang sebelum ini digunakan bagi mempertahankan projek kompleks dewan tari bernilai kira-kira AS$400 juta yang sedang dibina di tapak bekas East Wing White House.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sebarang ancaman keselamatan khusus yang memerlukan kemudahan sedemikian.
Gerbang tersebut bersama projek dewan tari itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas Trump untuk mengubah wajah ibu negara AS, termasuk menaik taraf Kolam Pantulan Memorial Lincoln, membangunkan semula padang golf di East Potomac Park serta usaha menambah namanya pada Pusat Seni Persembahan John F. Kennedy.
Inisiatif itu bagaimanapun menerima kritikan daripada kumpulan pemuliharaan warisan dan pihak lain yang berpendapat ia boleh mengubah landskap bersejarah serta mercu tanda penting di Washington.
Dalam hantaran di media sosial, Trump berkata, beliau bersetuju menjadikan gerbang setinggi 76 meter itu sebagai “Kompleks Ketenteraan/Gerbang Kemenangan bertaraf tinggi” yang mampu menempatkan dan menggerakkan sejumlah besar dron dengan pantas.
Beliau turut memaklumkan, kemudahan itu akan dilengkapi kedudukan penembak tepat di bumbung dan kawasan plaza serta ruang penyimpanan peluru penembak tepat dalam kuantiti besar.
Seorang pegawai tentera AS ketika dihubungi Reuters berkata, Jabatan Pertahanan tidak mempunyai maklumat tambahan selain kenyataan yang dimuat naik Trump di media sosial.
White House juga belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen berhubung perkara itu.
Trump tidak mengulas lanjut mengapa kemudahan sedemikian diperlukan di gerbang yang diilhamkan daripada Arc de Triomphe di Paris dan bakal dibina berhampiran Tanah Perkuburan Nasional Arlington, di seberang Sungai Potomac dari Washington.
Sebelum ini, beliau turut menggambarkan projek dewan tari baharu White House ebagai projek keselamatan negara dengan cadangan pembinaan kemudahan dron, kubu perlindungan bom dan pemasangan ketenteraan lain bagi melindungi Washington.
Pakar persoal justifikasi ketenteraan
Bekas kolonel Kor Marin AS, Mark Cancian berkata, walaupun terdapat alasan lebih kukuh untuk meningkatkan ciri keselamatan di White House termasuk memperluas kemudahan bunker bawah tanah, rasional menjadikan gerbang itu sebagai kemudahan ketenteraan sukar difahami.
Menurutnya, langkah berkenaan dilihat bertujuan mengurangkan bantahan terhadap pembinaan monumen tersebut.
Cancian berkata, lokasi gerbang yang dicadangkan hanya kira-kira 1.6 kilometer dari Pangkalan Bersama Myer-Henderson Hall dan sekitar 3.2 kilometer dari Pentagon menimbulkan persoalan mengenai keperluan kemudahan ketenteraan tambahan di kawasan tersebut.
“Ia seolah-olah ditambah bagi mengukuhkan justifikasi pembinaan. Sudah ada kemudahan ketenteraan lengkap dengan pelbagai keupayaan hanya kira-kira satu batu dari situ. Jadi tidak jelas mengapa kemudahan baharu ini diperlukan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan menempatkan penembak tepat di gerbang itu serta cabaran logistik yang bakal timbul akibat penyimpanan peluru di lokasi berkenaan.
Cabaran undang-undang
Awal bulan ini, Hakim Daerah AS, Tanya Chutkan mengarahkan pentadbiran Trump memberi notis 48 jam sebelum menjalankan sebarang aktiviti di tapak pembinaan gerbang tersebut.
Arahan itu dikeluarkan sehari selepas Jabatan Dalam Negeri mengumumkan hasrat meneruskan projek berkenaan walaupun berdepan cabaran undang-undang dan belum menerima kelulusan muktamad daripada pihak berkuasa perancangan kerajaan.
Gerbang tersebut dicadangkan sempena sambutan ulang tahun ke-250 penubuhan Amerika Syarikat.
Pakar penerbangan turut menyuarakan kebimbangan mengenai faktor keselamatan memandangkan lokasinya yang berhampiran Lapangan Terbang Nasional Reagan Washington.
Pada masa sama, sekumpulan veteran mengemukakan saman bagi menghalang pembinaannya dengan alasan ia akan menjejaskan pemandangan bersejarah yang menghubungkan Memorial Lincoln dan Tanah Perkuburan Nasional Arlington.
Bagaimanapun, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) minggu lalu memaklumkan, struktur itu tidak akan menimbulkan bahaya kepada pesawat selagi bahagian puncaknya dilengkapi dengan “api abadi”.
Ahli Kongres Demokrat dari Virginia, Don Beyer pula berkata, pengoperasian dron terlalu hampir dengan lapangan terbang adalah berbahaya dan tidak praktikal.
Beliau yang turut memperkenalkan rang undang-undang bagi menyekat pembinaan gerbang itu mendakwa Trump cuba menggunakan alasan keselamatan negara untuk mengukuhkan kedudukan pentadbirannya dalam menghadapi cabaran undang-undang.
“Trump jelas menjangkakan beliau akan kalah dalam tindakan mahkamah, justeru cuba mewujudkan alasan bahawa gerbang ini mempunyai kaitan dengan keselamatan negara,” katanya menerusi media sosial. - Agensi