Skip to main content

Malaysia

Program LINUS Dewasa Jabatan Penjara Malaysia bakal diperluas ke seluruh negara

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Datuk Zainal Abas (tengah) beramah mesra bersama prospek pada Majlis Apresiasi Program Literasi dan Numerasi (LINUS) Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Marang hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Datuk Zainal Abas (tengah) beramah mesra bersama prospek pada Majlis Apresiasi Program Literasi dan Numerasi (LINUS) Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Marang hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Program LINUS Dewasa Jabatan Penjara Malaysia akan diperluas ke 44 penjara dalam tiga tahun untuk memastikan banduan mendapat akses pendidikan asas.
  • Sejak 2022, seramai 371 daripada 515 peserta berjaya menamatkan program LINUS Dewasa yang dijalankan di enam Pusat Kecemerlangan.
  • Jabatan Penjara sedang menaik taraf fasiliti dan latihan tenaga pengajar sebelum perluasan program, dengan 3,508 banduan dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas.
Advertisement

MARANG: Program Literasi dan Numerasi (LINUS) Dewasa Jabatan Penjara Malaysia dijangka akan diperluas ke 44 buah penjara seluruh negara dalam tempoh tiga tahun lagi, bagi memastikan banduan yang tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira mendapat akses pendidikan sewajarnya.

Pengarah Bahagian Korektif Jabatan Penjara Malaysia Nora Musa berkata ketika ini, terdapat enam institusi penjara yang berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan (COE) iaitu Penjara Marang; Penjara Sungai Petani, Kedah; Pusat Koreksional Jelebu, Negeri Sembilan; Penjara Simpang Renggam, Johor; Pusat Koreksional Bintulu, Sarawak dan Penjara Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata dalam tempoh empat tahun, sebanyak 371 daripada 515 peserta Program LINUS Dewasa, telah berjaya menamatkan pengajian yang memakan masa enam bulan.

Advertisement

“Sejak projek rintis dilancarkan di Sekolah Integriti Sungai Petani pada 2022, Program LINUS yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), telah mencatat pencapaian memberangsangkan apabila 371 daripada 515 prospek, telah berjaya menamatkan pengajian.

“Bagi kohort tiga yang bermula pada Ogos pula, sebanyak 211 prospek kini sedang mengikuti program yang dijalankan selama 360 jam pembelajaran di enam COE Jabatan Penjara Malaysia. Proses pembelajaran lebih kurang sama dengan kelas biasa iaitu setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad, bermula 8.30 pagi hingga 2.30 petang,” katanya selepas Majlis Apresiasi Program LINUS Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Marang, hari ini.

Advertisement

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Datuk Zainal Abas.

Nora berkata pihak Jabatan Penjara Malaysia ketika ini dalam proses menaik taraf fasiliti, alat bantu mengajar dan latihan kemahiran bagi pegawai penjara yang terlibat sebagai tenaga pengajar di enam COE, sebelum program itu diperluas ke institusi penjara yang lain.

Beliau berkata dalam tempoh 2022 hingga 2026, sebanyak 57,994 prospek telah menjalani saringan dan didapati 3,508 prospek tidak menguasai kemahiran literasi dan numerasi.

“Buat masa ini banduan yang dikenal pasti belum menguasai kemahiran literasi dan numerasi, akan menjalani penilaian diagnostik di institusi masing-masing, sebelum dihantar ke COE mengikut zon untuk mengikuti pembelajaran secara formal.

“Banduan yang telah menguasai kemahiran asas berkenaan akan dikembalikan ke institusi penjara masing-masing, manakala mereka yang masih memerlukan bimbingan diberi peluang mengulangi pembelajaran,” katanya.

Sementara itu Zainal berkata KPM sentiasa memberi sokongan dalam pelbagai aspek terutama dalam memastikan prospek mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata pada tahun ini terdapat 59 calon prospek di empat sekolah Henry Gurney dan tujuh Sekolah Integrasi, yang akan menduduki peperiksaan SPM di seluruh negara.

“Program utama kita bersama dengan Jabatan Penjara ialah program Sekolah Integrasi yang di dalam penjara dan sekolah Henty Gurney yang khusus untuk prospek muda.

“Saya perlu puji Jabatan Penjara Malaysia kerana telah tiga tahun berturut-turut calon SPM mereka mencapai tahap 100 peratus layak mendapat sijil,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement