Skip to main content

Dunia

Trump persoal integriti pilihan raya pertengahan penggal AS

Presiden Trump mempersoalkan integriti keputusan pilihan raya pertengahan penggal yang menyaksikan Parti Republikan mengalami kekalahan besar, hanya beberapa hari selepas beliau menyatakan kesediaan menerima keputusan tersebut. - Gambar Reuters
Presiden Trump mempersoalkan integriti keputusan pilihan raya pertengahan penggal yang menyaksikan Parti Republikan mengalami kekalahan besar, hanya beberapa hari selepas beliau menyatakan kesediaan menerima keputusan tersebut. - Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempersoalkan integriti keputusan pilihan raya pertengahan penggal yang menyaksikan Parti Republikan mengalami kekalahan besar, hanya beberapa hari selepas beliau menyatakan kesediaan menerima keputusan tersebut.

Menerusi platform Truth Social pada Isnin, Trump mempersoalkan ketepatan tinjauan pendapat dan keputusan pilihan raya, selain membangkitkan dakwaan umum mengenai proses pengundian tanpa mengemukakan sebarang bukti khusus.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan pendiriannya pada malam pilihan raya apabila beliau memberitahu akhbar New York Times bahawa beliau "sepenuhnya bersedia" menerima keputusan yang diumumkan.

Advertisement

Dalam pilihan raya pertengahan penggal minggu lalu, Parti Demokrat berjaya merampas semula kawalan kedua-dua dewan Kongres, sekali gus memberi tamparan besar kepada Republikan.

Setakat ini, Demokrat memenangi 54 kerusi Senat dan 254 kerusi Dewan Perwakilan, sekali gus memperoleh majoriti selesa di kedua-dua dewan walaupun pengiraan undi masih diteruskan di beberapa negeri termasuk Alaska dan Mississippi.

Advertisement

Trump dalam hantaran berasingannya turut membangkitkan isu berkaitan "lambakan undi" dan "mesin pengundian", namun tidak menjelaskan secara terperinci maksud dakwaan itu atau sama ada beliau percaya berlaku kesilapan mahupun penyelewengan.

Pakar sains politik dari Massachusetts Institute of Technology (MIT), Charles Stewart III berkata, proses pelaporan keputusan undi pada malam pilihan raya berlangsung mengikut corak biasa yang lazim berlaku dalam pilihan raya AS.

Menurutnya, beberapa negeri seperti Florida dan Georgia sering mengumumkan keputusan lebih awal kerana undi awal dan undi pos telah diproses terlebih dahulu sebelum hari pengundian.

Trump sebelum ini beberapa kali mempersoalkan integriti pilihan raya yang tidak memihak kepadanya, termasuk pilihan raya presiden 2020 yang menyaksikan beliau tewas kepada bekas Presiden Joe Biden.

Walaupun namanya tidak berada dalam kertas undi kali ini, Trump mendakwa, Republikan berpotensi mencatat kemenangan lebih besar sekiranya beliau bertanding.

Beliau juga mengaitkan kekalahan parti itu dengan perang Iran yang menurutnya menyebabkan rakyat berdepan kenaikan harga bahan api dan kos sara hidup.

Naib Presiden, JD Vance turut menyuarakan pandangan sama dengan menyifatkan konflik Iran yang bermula pada Februari lalu sebagai antara faktor utama yang melemahkan sokongan pengundi terhadap Republikan.

Menjelang pilihan raya, Trump dan sekutunya berulang kali membangkitkan dakwaan berhubung penipuan pengundian secara meluas walaupun pakar pilihan raya menyatakan kes sedemikian jarang berlaku.

Malah, beberapa hari sebelum pengundian, Jabatan Kehakiman AS memfailkan tindakan undang-undang berkaitan proses pengiraan dan pengesahan undi di beberapa negeri termasuk California dan Alaska, namun kebanyakannya ditolak oleh mahkamah.

Bagaimanapun, pegawai pilihan raya di peringkat negeri dan tempatan melaporkan proses pengundian bagi pilihan raya pertengahan penggal 2026 berjalan lancar secara keseluruhan, meskipun cuaca buruk menyebabkan beberapa pusat mengundi terpaksa ditutup sementara dan terdapat beberapa gangguan pentadbiran serta teknikal berskala kecil di beberapa kawasan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement